Bas Rempuh Treler, Sembilan Warga Bangladesh Cedera

Sembilan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah treler di Kilometer 232.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, Rembau awal pagi ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata dalam kejadian 3.53 pagi itu, bas yang dinaiki 30 warga Bangladesh terbabit telah merempuh sisi kanan belakang treler di laluan kiri lebuh raya berkenaan.

“Seorang penumpang cedera parah, manakala lapan yang lain cedera ringan termasuk pemandu. Kesemua 30 mereka termasuk pemandu dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan.

“Bas berkenaan dipercayai dari Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Punca kemalangan belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Seremban, hari ini.

Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi dan tiba di lokasi kejadian bersama 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Tampin dan Alor Gajah, Melaka, setengah jam kemudian.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.