10 Artis Veteran ‘Terpinggir’ Bakal Terima Sumbangan

PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berjaya mengenal pasti 10 artis veteran yang sakit dan dipinggirkan badan seni untuk menerima sumbangan sepanjang tahun ini.

Presidennya, Zed Zaidi, berkata mereka dikesan oleh persatuan itu selepas dihubungi anggota keluarga bagi mendapatkan bantuan memandangkan masing-masing masih ahli yang berdaftar.

“Kita gagal mengesan mereka yang berusia lebih 70 tahun ini, sebelum ini. Walaupun tidak lagi aktif dalam bidang seni, mereka tetap layak mendapat sumbangan diperuntukkan kerana masih menjadi ahli persatuan.

“Peranan SENIMAN adalah menjaga kebajikan ahli, sama ada yang pernah kita bantu mahupun yang baru dikesan. Antara artis yang terlepas pandang ialah Fatimah Yasin,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi pelakon dan penyampai radio RTM berusia 78 tahun itu, di kediamannya di sini hari ini.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Jailani Johari; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; dan Ketua Pengarahnya, Datuk Fauzi Ayob.

“Ada ketikanya, kita tidak tahu pun mengenai keadaan mereka sehinggalah dihubungi ahli keluarga masing-masing. Semua nama yang kita peroleh ini akan dihantar kepada FINAS dan kementerian, agar bantuan dapat disalurkan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Zed berkata, seramai 6,000 ahlinya yang berdaftar layak mendapat sumbangan.

“Begitupun, tidak semuanya akan menerima bantuan berulang, mengikut keadaan semasa, kerana kita mahu bersikap adil kepada ahli yang lain,” katanya yang turut mengalu-alukan sokongan daripada sektor korporat.

Dalam kunjungan itu, Fatimah menerima sumbangan wang tunai daripada KKMM dan SENIMAN, selain mendapat kad keahlian baharu serta insurans kemalangan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.