Zamani Maafkan Polis, Tidak Mahu Perbesarkan Isu

Kuala Lumpur – Vokalis kumpulan popular era 1990-an, Zamani, 44, sudah memaafkan anggota polis yang terlibat dengan rakaman dan penyebaran video yang menunjukkan dia dipaksa menyanyikan lagu Gerimis Mengundang dalam keadaan tangannya bergari ketika ditahan di lokap.

 

Menurut abang penyanyi kumpulan Slam itu, Zulfazil Ibrahim, 50, Zamani meminta agar isu video tersebut tidak diperbesarkan dan meminta tidak ada apa-apa tindakan terhadap pihak terbabit.

 

“Saya telah pun berjumpa Zamani pagi tadi dan dia berada dalam keadaan sihat. Perkara telahpun berlaku dan dia memohon maaf dan berharap peminat akan terus menyokongnya.

 

“Dia juga meminta agar isu video itu tidak dipanjangkan lagi. Dia pun telah memaafkan mereka yang terlibat dalam rakaman dan penyebaran video itu.

 

‘Malah, dia sendiri meminta agar kami tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang terbabit.

 

“Saya berbangga dengannya kerana dalam keadaan dia yang tertekan masih boleh memaafkan orang. Jadi, saya berharap umum boleh memaafkan dia dan memberi peluang kedua kepadanya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor, hari ini.

 

Turut hadir bersama Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, peguam yang mewakili Zamani iaitu Ahmad Zaharil Muhaiyar dari A.M Zaharil & Co dan peguam Karyawan, Aizul Rohan Anwar.

 

Pada Rabu lalu, industri hiburan dikejutkan berita penahanan Zamani atas dakwaan positif dadah jenis Heroine.

 

Penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu ditahan reman selama empat hari dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

 

Hasil pemeriksaan, satu paket plastik disyaki dadah jenis Heroin seberat 1.2 gram telah ditemui di dalam salah sebuah bilik dikediaman penyanyi itu.

 

Soal siasat awal mendapati suspek (Zamani) mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah jenis Syabu dan Heroin selama 10 tahun.

 

Pada malam Zamani ditahan, penyanyi itu dibuli ketika berada dalam lokap. Menerusi klip video berdurasi 1.24 minit itu menunjukkan Zamani yang kelihatan digari pada tangannya dipaksa menyanyikan lagu Gerimis Mengundang.

 

Akibat tersebar rakaman itu di laman sosial, ia menimbulkan kemarahan orang ramai khusus peminat Zamani dan Slam yang menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai suatu yang mengaibkan.

 

Sementara itu, Zulfazil menyatakan keluarga mereka kesal dengan berita penyebaran video tersebut tetapi menerima dengan tenang malah, terus memberikan sokongan moral kepada Zamani.

 

“Bermula dengan berita dia ditangkap, sehinggalah berita penyebaran video itu, saya dapat tahu dari kawan-kawan yang memaklumkan pada saya.

 

“Kami kesal dengan isu video itu tetapi perkara telah pun berlaku. Apa yang penting sekarang ini adalah tentang masa depannya dan bagaimana untuk memulihkannya selepas ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, Freddie menyatakan Karyawan akan turut memberi bantuan guaman yang akan mewakili penyanyi itu iaitu diwakili Aizul Rohan yang akan bekerjasama dengan peguam yang dilantik keluarga Zamani, Ahmad Zaharil.

 

“Kita ikut permintaan Zamani agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran video itu.

 

“Karyawan akan turut memberikan khidmat guaman yang mana peguam kami akan berkerjasama dengan peguam yang dilantik keluarga Zamani untuk mengendalikan kes ini”, katanya.

 

Ahmad Zaharil Muhaiyar pula berkata: “Dituduh tidak semestinya bersalah. Kami bersedia mengendalikan kes ini”.

 

Sebutan kes ini akan dibuat pada 27 Januari ini di Mahkamah Ampang. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.