Wujud Reaksi Hipokrit Berkaitan Insiden Charlie Hebdo – Tun M

Cyberjaya – Wujud reaksi hipokrit terselit di antara banyak respons terhadap insiden serangan ke atas majalah satira Charlie Hebdo di Perancis, memandangkan negara-negara Barat tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan pembunuhan ribuan penduduk Palestin.

 

Demikian kata Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucaptamanya semasa melancarkan ‘Kempen Sumbangan Satu Bilion Dollar Untuk Pembinaan Semula Gaza’ di Shaftsbury Asteria, Cyberjaya, Sabtu.

 

“Saya bersimpati dengan apa yang terjadi kepada kartunis berkenaan dan saya mengutuk keganasan.

 

“Tetapi negara-negara Barat dilihat lupa tentang kira-kira 200,000 orang yang telah dibunuh, rumah dan bandar mereka dimusnahkan di Palestin dan Gaza.

 

“Sesetengahnya adalah bayi dan kanak-kanak manakala yang cedera kebanyakannya orang tua.

 

“Apabila beribu-ribu orang dibunuh, tiada siapa di dunia Barat bersedih ataupun menangisi nasib mereka,” kata Dr Mahathir.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara Islam untuk kekal bersatu dan berjuang untuk kebebasan bersama, serta merumuskan strategi yang betul bagi menamatkan penderitaan umat Islam Palastin itu dan terus membantu pembinaan semula Gaza.

 

“Kita dapat melihat perubahan kuasa apabila beberapa negara Eropah mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka.

 

“Kita perlu memanfaatkan ini dengan tidak menyebabkan mereka marah, sebaliknya pupuk persahabatan supaya mereka membantu perjuangan kita dan menukar fikiran mereka,” katanya.

 

Berhubung sumbangan melalui kempen yang dilancarkan beliau hari ini, Dr Mahathir berkata sumbangan akan disalurkan untuk pembinaan semula infrastruktur di Gaza.

 

Ia termasuk sektor kesihatan, perumahan, pertanian, air, pembetungan, bekalan elektrik, telekomunikasi dan pembuatan.

 

Negara Arab dan Suruhanjaya Antarabangsa bagi Pembinaan Semula Gaza bersama-sama dengan Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia(MySET) dan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) akan bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dalam pembinaan semula Gaza itu.

 

Ia bagi membolehkan penduduknya mendapat peluang membina semula kehidupan mereka. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.