Perpaduan Dan Kepercayaan Dalam Kalangan Rakyat Pelbagai Kaum Jadi Tunjang Utama – TPM

Kota Kinabalu – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perpaduan kukuh dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum merupakan tunjang utama untuk menentukan hala tuju pembangunan negara.

 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sentiasa menekankan unsur perpaduan jitu rakyat yang terdiri daripada 219 suku kaum dalam merangka setiap dasar yang dilaksanakana sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik.

 

Katanya, kerajaan juga merangka pelan strategi dan hala tuju yang jelas bagi setiap perancangan dan dasar negara dalam menghadapi dan menangani isu serta masalah yang dibangkitkan pihak yang ada kepentingan dan agenda peribadi.

 

“Kerajaan mengamalkan pelbagai langkah untuk memastikan nilai dan semangat perpaduan komuniti dapat terus dipelihara tanpa diganggu gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram dalam negara.

 

“Atas kesedaran inilah, maka aspek perpaduan diangkat sebagai agenda utama dalam usaha merealisasikan negara bangsa yang membangun dan maju dalam pelbagai bidang serta mempunyai identitinya tersendiri,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Perdana Rukun Tetangga di sini, hari ini.

 

Majlis peringkat kebangsaan itu yang bertema ‘Gemilang Perpaduan’ turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

 

Muhyiddin berkata melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, di bawah Jabatan Perdana Menteri, kerajaan menggubal Akta Rukun Tetangga 2012 bagi memupuk dan mengukuh perpaduan melalui pelbagai aktivit seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

 

Selain aktiviti kemasyarakatan, peranan 7,137 KRT dengan 178,425 orang di seluruh negara juga diperkasakan apabila SRS diiktiraf sebagai pelaksanaan utama dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah.

 

“Saya percaya warga Rukun Tetangga yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum, mempunyai amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjuangan untuk memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang dibina.

 

“Mereka yang menyertai Rukun Tetangga melakukannnya atas rasa tanggungjawab tinggi terhadap keamanan dan cintakan negara. Tanggungjawab ini amat besar dalam memastikan kemakmuran tanah air kita terus berkekalan dan terpelihara, khususnya untuk generasi akan datang,” katanya.

 

Selain itu, kerajaan juga memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dengan menubuhkan Taska Permata Perpaduan yang menyediakan pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak sejak berumur empat tahun.

 

Muhyiddin berkata 1,781 taska dengan 39,919 murid berupaya memainkan peranan penting sebagai titik permulaan kepada usaha kerajaan ke arah menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui pendidikan.

 

Mengenai anugerah RT berkenaan, Muhyiddin berkata ia merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap warga RT di seluruh negara yaang memberikan komitmen dan sumbangan cemerlang dalam perlaksanaan aktiviti perpaduan dan program kemasyarakatan di peringkat akar umbi.

 

Pada majlis berkenaan, Rukun Tetangga Kg Gong Baru/Tok Tasek, Kuala Terengganu diumum sebagai pemenang tempat pertama kategori Pengurusan Rukun Tetangga, diikuti RT Jalan Usaha, Kluang, Johor dan ketiga RT Bandar Damansara, Kuantan, Pahang.

 

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta sijil dan tropi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.