Kaunter Pembaharuan Pasport Hujung Minggu Akan Ditutup Mulai Esok

Putrajaya – Kaunter pembaharuan pasport di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dibuka pada cuti hujung minggu, akan ditutup bermula esok.

 

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim yang memberitahu, langkah tersebut diambil sebagai memberi kebajikan kepada anggota Imigresen yang sebelum ini menghadapi masalah dengan keluarga masing-masing, kerana terpaksa bekerja pada hari cuti.

 

“Perkara ini telah diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mesyuarat tertinggi dengan Jabatan Imigresen semalam.

 

“Diharap dengan penutupan kaunter pada hujung minggu ini akan memberikan keselesaan kepada anggota untuk bersama keluarga mereka,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

 

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan untuk membuat atau memperbaharui pasport pada hujung minggu, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang berada di Pudu, Keramat Mall dan Sentul.

 

Terdahulu, JIM akan membuka semula kaunter penerimaan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), bermula Isnin ini sehingga 28 Februari, untuk kemudahan majikan memperbaharui pas lawatan pekerja asing.

 

Bagaimanapun, Mustafa berkata, pembukaan kaunter itu yang bersifat sementara bertujuan mengelakkan pembabitan orang tengah dan ejen tidak sah yang mengambil kesempatan menipu majikan yang menggunakan khidmat mereka. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.