Bot Terbalik, 5 Termasuk Wanita Dan Kanak-Kanak Nyaris Maut

Long Panai – Lima penduduk termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang nyaris maut apabila bot mereka terbalik dan karam bernasib baik kerana ketika kejadian anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sedang melakukan rondaan pemantauan berhampiran lokasi kejadian.

 

Dalam kejadian jam 11..40 pagi tadi itu, semua mangsa sedang menyeberangi sungai menuju ke arah Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh dekat sini.

 

Menurut jurucakap RAMD, anggota yang sedang membuat pemantauan di kawasan itu, ternampak bot yang mengangkut mangsa tiba-tiba terbalik akibat arus sungai yang deras.

 

“Mangsa bernasib baik ketika itu salah satu bot RAMD meronda kawasan itu telah melihat kejadian dan cuba menyelamatkan mereka,” kata jurucakap itu.

 

Dalam pada itu, keadaan banjir di Sabah dan Sarawak dilapor beransur reda apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri itu semakin menurun berbanding tengah hari tadi.

 

Jumlah mangsa banjir di dua negeri itu menurun kepada 3,619 orang petang ini berbanding 5,319 orang pada tengah hari tadi.

 

Di SARAWAK, keadaan banjir semakin reda hari ini dengan 1,924 orang daripada 601 keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan setakat 4 petang tadi.

 

Tengah hari tadi, terdapat 2,484 mangsa daripada 768 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan banjir.

 

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Sarawak berkata bahagian Samarahan masih mencatatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 889 orang diikuti Limbang (661), Kuching (50), Mukah (80) dan Miri (244).

 

Di SABAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,695 orang daripada 471 keluarga petang ini berbanding 2,835 orang daripada 871 keluarga tengah hari tadi.

 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Beaufort berkata jumlah mangsa banjir di daerah itu juga mencatatkan penurunan kepada 195 orang daripada 52 keluarga.

 

Jumlah mangsa banjir di daerah kecil Membakut pula menurun kepada 1,500 orang daripada 419 keluarga dengan empat pusat pemindahan di daerah itu turut ditutup pada 5 petang ini.

 

Di SEMENANJUNG MALAYSIA pula jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Perak pula kekal dengan masing-masing mencatatkan 255 orang dan 34 orang.

 

Difahamkan, semua mangsa banjir di Perak yang rumah mereka musnah keseluruhannya, telah dipindahkan ke asrama Sekolah Kebangsaan Lenggong petang ini sebelum rumah transit untuk mereka siap dibina. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.