56% Sekolah di Kedah Selesai Agih Bantuan RM100

SUNGAI PETANI – Sebanyak 56.8 peratus iaitu 415 sekolah daripada 730 sekolah di Kedah, selesai mengagihkan bantuan awal persekolahan RM100 bagi 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, sebanyak 43.2 peratus atau 315 sekolah lagi dijangka menyelesaikan pembayaran selewat-lewatnya 30 Januari ini.

Beliau berkata, pembayaran yang dibuat sehingga semalam melibatkan 124 sekolah di Kota Setar, Kuala Muda/Yan (85), Kulim/Bandar Baharu (80), Baling/Sik (52), Pendang (41), Langkawi (18), Kubang Pasu (11) dan Padang Terap (empat).

“Selebihnya iaitu 22 sekolah di Kota Setar, Kuala Muda/Yan (92), Kubang Pasu (70), Baling/Sik (56), Padang Terap (24), Kulim/Bandar Baharu (34), Langkawi (10) dan Pendang (tujuh) dijadual selesai membuat agihan minggu depan,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Sehingga semalam, lebih RM36 juta diagihkan kepada 367,376 pelajar sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil, SJK Cina dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di seluruh negeri, katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat pertambahan bantuan di sekolah-sekolah di Kedah pada tahun ini iaitu melibatkan 6,608 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM660,800.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.