Bekas Ahli UMNO Dalam PPBM Hanya Bawa Penyakit & Virus

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi amaran kepada PPBM yang mereka akan “berjaga malam” jika menerima bekas ahli parti itu.

“Percayalah, pemergian ahli Umno dan kemasukan mereka ke dalam PPBM tidak akan membuatkan kami hilang tidur. Sebaliknya, mereka pasti akan membuatkan kalian berjaga malam kerana mereka adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Dan virus, biar di mana pun mereka berada, pasti akan membawa sakit dan rebah. Saya tidak mahu mendoakan. Tetapi, saya yakin virus-virus penyakit yang selama ini telah membarah dalam Umno, pasti akan menjadi sebahagian daripada darah daging PPBM pula.”

Bekas menteri besar Johor itu meramalkan setahun dari sekarang, “virus penyakit” yang dibawakan bekas ahli Umno itu akan merebak ke seluruh PPBM.

“Mereka ini amat manipulatif dan berpengalaman. Mereka pandai mengambil kesempatan ke atas struktur politik yang barangkali, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bina.”

Umno memenangi 54 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, tetapi sekarang ia hanya mempunyai 37 ahli Parlimen, susulan tindakan keluar parti beramai-ramai.

Khaled berkata, PPBM akan menjadi Umno 2.0 atau 3.0 kerana bekas ahli Umno itu akan membawa budaya politik wang bersama mereka.

“Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang, bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk diri mereka.”

Katanya, bekas pemimpin Umno yang keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas bukannya pejuang, sebaliknya golongan yang tewas dalam perjuangan.

“Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh kita teladani daripada mereka.

“Yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab, yang bertahan teguh pada prinsip dan pendirian. Biar apapun kesukaran dan cabarannya, mana mungkin kepercayaan yang didukung selama 6 dekad, berubah dan menjadi tohor dalam 6 bulan selepas tewas?”

Beliau menasihatkan ahli Umno tidak bimbang kerana parti itu kini nampak sisi sebenar bekas ahli Umno yang selama ini tidak diketahui mereka.

“Yang pergi, biarkan pergi. Yang tinggal, harus bangkit dan menjalankan tanggungjawab bersama.

“Umno perlu meneruskan langkah ke hadapan, tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama kita.”

Katanya, tindakan ahli Umno keluar parti beramai-ramai mendorong parti itu menyemak semula maksud perjuangan dan iltizam politiknya.

“Di manakah sebenarnya terletak nilai sebuah perjuangan? Wang ringgit? Pengaruh? Jawatan? Ataupun kesenangan?

“Sunnah berjuang tidak pernah menyenangkan. Tidak pernah disadur emas permata. Hanya yang terpilih sahaja yang mampu untuk meneruskannya.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.