Pemain Kedah Baddrol Bakhtiar Diiktiraf Pemain Paling Bernilai

PETALING JAYA – Pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar mencipta sejarah apabila muncul pemain tempatan pertama membolot tiga gelaran pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Ayam tambatan Kedah itu, yang sah kekal bersama skuad Lang Merah pada musim depan, dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik, Pemain Paling Bernilai dan Penjaring Terbanyak Liga Super (Tempatan) dengan sembilan jaringan.

Lebih manis, pasukan Kedah turut memenangi anugerah pasukan bola sepak terbaik buat kali kedua selepas 2010, selain kelab penyokong terbaik untuk kali kedua selepas 2015.

Penjaga gol skuad Lang Merah Ifwat Akmal Chek Kassim, melakar sejarah tersendiri dengan memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali pertama manakala perancang tengah Kedah, Liridon Krasniqi dari Kosovo, mempertahankan gelaran Anugerah Pemain Paling Popular buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya tahun lalu.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan pula mencipta sejarah baharu dengan memenangi anugerah jurulatih terbaik buat kali ketiga selepas meraih anugerah sama pada 2010 dan 2012.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dianjurkan setiap tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi mengiktiraf pencapaian pihak yang berkepentingan dalam Liga Malaysia.

Senarai Pemenang:

Pemain Paling Bernilai: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penyerang Terbaik: Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC)

Penjaga Gol Terbaik: Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pemain Pertahanan Terbaik: Matthew Davies (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Jurulatih Terbaik: B. Sathianathan (Felda United)

Pemain Import Terbaik: Liridon Krasniqi (Kedah)

Pemain Muda Harapan: Adam Nor Azlin (Selangor)

Anugerah Fair Play: T-Team FC

Pemain Wanita Terbaik: Siti Rohani Saptu (Sarawak)

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super): Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penjaring Terbanyak Import (Liga Super): Mohamad Ghaddar (JDT)

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Perdana): Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan FA)

Penjaring Terbanyak Import (Liga Perdana): Guilherme de Paula (Kuala Lumpur)

Pasukan Bola Sepak Terbaik: Kedah

Kelab Penyokong Terbaik: Kedah

Laman Media Sosial Terbaik: Kedah

Laman Web Terbaik: Selangor ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.