Militan IS Pamer Kezaliman, Bakar Hidup-Hidup Dua Tentera Turki

BEIRUT – Kumpulan militan Daesh (militan IS) menyiarkan video menunjukkan dua anggota tentera Turki yang ditawan, dibakar hidup-hidup.

 

Video berkenaan yang menunjukkan dua lelaki tidak berpakaian seragam diheret keluar dari kurungan sebelum diikat dan dibakar, disiarkan di laman web pergerakan itu.

 

Rakaman 19 minit itu dikatakan dirakam di ‘Wilayah Aleppo’ yang didakwa milik Daesh di utara Syria.

 

Bercakap dalam bahasa Turki, pembunuh kedua-dua lelaki mengutuk Presiden Recep Tayyip Erdogan dan mendesak “kemusnahan dilakukan” di Turki.

 

Imej mengejutkan itu mengingatkan semula mengenai pembunuhan juruterbang pesawat pejuang Jordan, Maaz al-Kassasbeh, yang ditawan Daesh apabila pesawatnya terhempas di Syria pada Disember 2014, dan kemudian dibakar hidup-hidup dalam kurungan.

 

Agensi berita berkaitan Daesh, Amaq, bulan lalu berkata militan menculik dua tentera Turki. Sebelum ini, tentera Turki menyatakang ia hilang hubungan dengan dua anggotanya.

 

Video itu ditayangkan sehari selepas 16 anggota tentera Turki dibunuh militan Daesh, kehilangan terbesar Ankara setakat ini dalam perang di Syria.

 

Tentera Turki memasuki Syria pada 24 Ogos bagi membantu pemberontak, dengan matlamat menyingkirkan Daesh selain militan Kurdis dari kawasan sempadan.

 

Sekurang-kurangnya 38 anggota tentera Turki maut dalam operasi itu. Turki digegarkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah moden negara itu yang didakwa dilakukan Daesh dan militan Kurdis. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.