Kemasukan Pekerja Asing ‘Makan’ Budaya Kita?

SHAH ALAM – Pemerhati sosial melahirkan kebimbangan dengan pengaruh budaya yang dibawa oleh pekerja asing ke negara ini.

 

Menurut Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Unisel, Profesor Madya Dr. Gunasegaran Karuppannan kemasukan pekerja asing ke negara ini yang turut membawa bersama budaya mereka telah sedikit sebanyak merosakkan budaya kita yang sedia ada.

 

“Malaysia ada budaya sendiri, tapi apa yang saya lihat impak kemasukan ramai pekerja asing ini telah mengganggu budaya kita, sebagai contoh budaya makan sirih oleh pekerja Myanmar.

 

“Mereka ludah merata-rata, misalnya di Puchong kotor kawasan tempat tinggal mereka, lagi satu sirih dan makanan mereka bebas untuk dijual di Malaysia, apa yang saya bimbangkan adalah mereka ini bergaul dengan rakyat kita, risau sekiranya budaya ini meresap dalam budaya kita,” katanya kepada Sinar Online.

 

Dalam pada itu katanya, pekerja dari India juga turut membawa budaya negatif dalam persekitaran budaya negara kita.

 

“Mereka ini agresif, kita Melayu, Cina, India saling menghormati tetapi mereka ini tidak langsung menghormati orang sekeliling, misalnya cakap menerusi telefon bimbit yang bising, tidak peduli orang berhampirannya.

 

“Bagi mereka sendiri memang tiada masalah tetapi bagi kita lain pula, dalam pada itu pekerja ini jua selalu memakai pakaian segak tetapi hanya berselipar sahaja, budaya ini hanya sesuai di negara mereka tak sesuai di sini apa yang merisaukan adalah takut budaya negatif ini menjadi ikutan,” katanya.

 

Dalam pada itu, katanya dari segi pengaruh budaya pemakaian juga turut menjadi kebimbangannya.

 

“Saya biasa tengok kalau dahulu pergi sembahyang Jumaat dulu kita pakai baju Melayu, sekarang pakaian gaya Bangladesh, Pakistan jadi saya nampak budaya kita bertukar tanpa kita sedari, takut lama-kelamaan budaya kita akan hilang,” katanya.

 

Oleh itu ujarnya beliau menyarankan agar kerajaan mengetatkan beberapa syarat kemasukan mereka ke sini, bagi mengekang perkara ini.

 

“Sebelum mereka masuk sini, kini kena kenakan syarat apa yang boleh dan tidak, sebagai contoh Australia tidak membenarkan kemasukan mi segera kita ke sana.

 

“Saranan saya, kalau yang dari Myanmar itu kita semak balik kebenaran mereka membawa makanan mereka begitu jua dari negara lain,” katanya.

 

Terdahulu menurut Kementerian Dalam Negeri pada tahun lalu melaporkan pekerja asing berdaftar di negara ini berjumlah 2.1 juta atau 15.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia, manakala pekerja asing tanpa izin dianggarkan berjumlah melebihi tiga juta orang.

 

Hampir separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia, diikuti Nepal dan Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India, Myanmar, Pakistan, Filipina dan Vietnam.

 

Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir yang mendominasi sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Pada 2015, pegawai dagang yang merupakan pekerja profesional asing tidak sampai pun 10 peratus. Kehadiran pekerja asing secara berlebihan adalah satu fenomena membimbangkan negara.

 

Apa yang lebih membimbangkan adalah kemasukan mereka secara tidak sah yang jumlahnya mengatasi pekerja asing secara sah.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.