Lelaki Didakwa Makan Rakan Sekapal, Disaman Sejuta Dolar

Setelah setahun sesat di lautan seorang warga El Salvador disaman AS$1 juta kerana didakwa telah memakan rakan sekapal dalam usahanya untuk kekal hidup.

 

Menurut laporan USA Today, pada musim luruh 2012, Salvador Alvarenga mengupah Ezequiel Cordoba untuk mengiringinya ke sesi memancing di pesisir pantai Mexico.

 

Bagaimanapun, menurut Alvarenga, bot kecil yang dinaiki dipukul gelombang lalu tenggelam ketika ribut berlaku. Semua peralatan komunikasi dan bekalan makanan turut hilang.

 

Tambah Alvarenga, rakan sekapalnya meninggal dunia selepas beberapa bulan di lautan. Cordoba menjadi semakin lemah dan akhirnya menemui ajal selepas memakan seekor burung. Alvarenga turut menegaskan dia mencampak mayat Cordoba ke sisi bot selepas itu.

 

Alvarenga yang kini berdepan perbicaraan mahkamah, bercerita mengenai situasi ekstrem yang dihadapinya untuk kekal hidup termasuklah terpaksa meminum darah penyu, air kencing sendiri, dan memakan mana-mana burung atau ikan yang sempat ditangkap.

 

Bagaimanapun, keluarga Cordoba tidak mempercayai kisah Alvarenga dan menuntut bayaran pampasan kerana mendakwa Alvarenga memakan Cordoba.

 

Menurut peguam Alvarenga, Ricardo Cucalon, besar kemungkinan keluarga Cordoba menyaman anak guamnya kerana Alvarenga baru-baru ini meraih keuntungan melalui buku 483 Days karya Jonathan Franlin yang mengabadikan kisah ikhtiar hidup Alvarenga.

 

Alvarenga diselamatkan tahun lalu, ketika dia tiba di Kepulauan Marshalls kira-kira 10,460 kilometer merentas Lautan Pasifik dari pesisir pantai Mexico, tempat dia memulakan perjalanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.