KPDNKK Buka Kaunter Di Kota Raya, Lebih Ramai Mangsa Penipuan Tampil Tuntut Hak

KUALA LUMPUR – Susulan insiden kekecohan di Kompleks Kota Raya di ibu negara pada Ahad, kini lebih ramai mangsa penipuan tampil untuk menuntut hak mereka.

 

Mereka dibantu kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mula bertugas di kaunter khas kompleks itu.

 

Tinjauan kami juga mendapati sebanyak tujuh premis penjualan telefon bimbit di tingkat bawah kompleks ini telah ditutup.

 

Manakala, jumlah pengunjung juga semakin berkurangan.

 

Beberapa mangsa penipuan yang ditemui mengadu modus operandi jurujual terbabit  ialah menawarkan telefon bimbit bernilai RM300 kepada mereka.

 

Menurut mangsa penipuan yang hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, 53, beliau membayar RM300 bagi telefon bimbit namun harga itu terus meningkat.

 

“Lepas daftar nama saya, jurujual itu memberi saya satu resit dengan harga RM899 jenis Android tambah lagi dengan pelbagai alasan dengan jumlah RM1999 dan jumlah penuh perlu saya bayar ialah RM2,738.

 

“Saya memang terkejut daripada RM300 menjadi RM2,000. Jurujual itu menerangkan harga itu hanya bagi housing (sarung) telefon dan harga lain ialah bagi telefon itu. Saya terus jelaskan tidak ada wang namun RM300 tidak dikembalikan,” katanya ketika ditemui di sini.

 

Seorang lagi mangsa warga Indonesia yang dikenali sebagai Vivienne, 43, berkata dirinya seringkali ditipu apabila menghantar telefon bimbitnya untuk menuntut sijil jaminannya.

 

“Saya kena tipu kerana jurujual itu cakap telefon saya tidak dapat diperbaiki lagi padahal ia masih mempunyai warantinya selama dua tahun.

 

“Jurujual itu berkata sekiranya saya perlu memperbaiki telefon bimbit itu perlu membayar semula RM300 namun saya tak mampu dan saya hanya perlu bayar RM100. Telefon bimbit itu masih tidak dapat dipakai dan saya ditipu lagi sampai saya menangis,” katanya.

 

Manakala seorang lagi mangsa, Redowan, 22 tahun warga Bangladesh yang telah berkerja di sini dua bulan berkata beliau membayar RM600 dan diberi resit namun telefon bimbitnya hanya boleh diambil tiga bulan kemudian.

 

“Kerana masalah bahasa saya ditipu dan hari ini saya datang semula menuntut telefon bimbit saya namun kedai itu sudah ditutup. Saya terus membuat aduan di kaunter khas KPDNKK dan memohon agar tindakan diambil kepada mereka,” katanya di sini.

 

Kaunter khas KPDNKK telah dibuka di kompleks ini yang beroperasi sehingga jam 11 malam setiap hari bagi membantu mangsa terbabit membuat aduan mereka.

 

Dalam kejadian pada Ahad, sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh menyebabkan pengurusannya menutup kompeks itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.