Kerana Pemalas, Pasangan Penyamun Dapat Tambahan 10 Tahun Penjara

KUALA LUMPUR – Sikap malas pasangan suami isteri dengan meneruskan gaya hidup menyamun sebanyak dua kali menyebabkan Hakim Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tambahan 10 tahun ke atas mereka, hari ini.

 

Nasaruddin Naser, 35, dan Fatin Nadia Abdullah, 20, kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun setelah dijatuhi hukuman atas kesalahan menyamun dalam kes pertama mereka dahulu.

 

Nasaruddin dipenjarakan di Penjara Kajang pada 27 Nov, manakala Fatin Nadia ditempatkan di Penjara Sungai Buloh pada 12 Dis lepas.

 

Bagi kes kedua mereka, Hakim Amernudin Ahmad, sebelum menjatuhkan hukuman penjara tambahan 10 tahun itu, berkata: “Kamu boleh merempat di negara kamu sendiri, sebab apa? Sebab kamu malas.”

 

Amernudin berkata perbuatan samun itu tidak sepatutnya dilakukan oleh kedua-dua tertuduh walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

 

Pasangan suami isteri itu yang tidak bekerja didakwa telah melakukan rompakan terhadap seorang juruwang warganegara Nepal, Subas Waiba dengan mengambil wang sebanyak RM132.70 dan pelbagai jenis kotak rokok di 7 Eleven, Jalan 5/38D Taman Sri Sinar, Segambut, pada pukul 11.50 malam, 28 April lepas.

 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

 

Mahkamah turut mengenakan hukuman tiga kali sebatan terhadap Nasaruddin dan memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara serentak dengan hukuman terdahulu.

 

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian Nasaruddin telah mengacukan pisau terhadap mangsa dan mengarahkan mangsa memberikan semua wang di dalam peti tunai, manakala isterinya pula mengambil kotak rokok yang berada di belakang peti tunai sebelum mereka melarikan diri.

 

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, kedua-dua tertuduh, yang mempunyai seorang anak memohon hukuman berjalan serentak memandangkan mereka sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan sama.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah manakala pasangan itu tidak diwakili peguam. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.