Individu Tunjuk Isyarat Lucah Pada Sultan Johor Mengaku Tak Bersalah

BATU PAHAT – Seorang pereka grafik dihadapkan ke Mahkamah Seksyen semalam, atas pertuduhan mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah tangan kanannya, kelmarin.

 

Tertuduh, Md Aris Husin, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Azuar Che Yusof.

 

Md Aris dituduh melakukan kesalahan itu di Kilometer 95 Lebuhraya Utara Selatan Arah Selatan, dekat sini, pada jam 11.20 pagi, 20 Disember lalu.

Berita Berkaitan;-

– Lelaki Terima Padah Tunjuk Isyarat Lucah Pada Konvoi Sultan Johor

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abd Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan hingga sebutan semula kes pada 19 Januari depan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.