DBKL, Polis Gempur Pusat Judi Di Plaza Pudu

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis menggempur lapan premis perjudian haram di Plaza Pudu di sini, dalam Operasi Khas Pusat Siber Dan Taman Permainan Kanak-Kanak, sebentar tadi.

 

Dalam serbuan itu, sebanyak 357 komputer dan mesin simulator termasuk yang diubah suai bernilai lebih RM300,000 dirampas, manakala semua premis disita.

 

Bagaimanapun, tiada individu ditahan apabila semua premis yang dipercayai beroperasi selama 24 jam itu didapati dikosongkan.

 

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zulkifli Muhammad, berkata pihaknya akan membuka lapan kertas siasatan bagi mendakwa pengusaha serta pemilik premis di mahkamah.

 

“Premis ini memiliki lesen premis secara sah, namun tidak memiliki lesen hiburan dan dipercayai beroperasi secara haram selama setahun.

 

“Selain mendakwa pengusaha dan pemilik premis, kami akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pembekal internet bagi menghentikan bekalan ke premis itu.

 

“Tindakan diambil berikutan pelanggaran Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.