Selepas Kelantan, Terengganu Dana Pahang Kini Perak Dan Perlis Pula Dilanda Banjir

Kuala Lumpur – Perak dan Perlis mula dilanda banjir hari ini manakala keadaan di Kelantan, Terengganu serta Pahang bertambah buruk dan keadaan baik dilaporkan di Sabah.

DiPERAK, sebanyak 170 mangsa banjir di kawasan Lenggong, Sungai Siput dan Ipoh dipindahkan di lima pusat pemindahan banjir setakat ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum berkata kejadian banjir di Lenggong berpunca daripada pelepasan air daripada Empangan Kenering yang menjejaskan Kampung Sumpitan, Kampung Tampan Air dan Kampung Labik.

DiPERLISpula, banjir yang melanda bahagian utara negeri itu menyebabkan 93 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan pagi tadi, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis.

DiKELANTAN, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat 1,550 orang kepada 22,259 orang petang ini berbanding 20,709 mangsa pada tengah hari tadi.

Menurut Portal Banjir kerajaan negeri Kelantan, mereka ditempatkan di 95 pusat pemindahan petang ini, meningkat 10 pusat pemindahan berbanding tengah hari tadi.

Jumlah mangsa banjir tersebut daripada sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat, dengan Kota Baharu dibuka semula pusat pemindahan selepas ditutup malam tadi.

Helikopter terpaksa digunakan untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Gua Musang dan Jeli hari ini.

Lima sungai di Kelantan masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang; Sungai Galas di Dabong, Gua Musang; Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang; Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah.

DiTERENGGANU, keadaan banjir tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda apabila jumlah mangsa terjejas meningkat 672 orang daripada 11,731 orang pada tengah hari tadi kepada 12,403 orang melibatkan 2,966 keluarga yang ditempatkan di 93 pusat pemindahan setakat pukul 4 petang ini.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kemaman mendahului dari segi mangsa iaitu 5,592 orang diikuti Kuala Terengganu 2,803 orang, Dungun 2,665 orang, Hulu Terengganu 648 orang, Besut 590 orang, Marang 94 orang dan Setiu 22 orang.

Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Sungai Berang di Kampung Menerong Hulu Terengganu, Sungai Besut di Kambung La, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sunai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Telemonong di Kuala Pinang Hulu Terengganu, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan dan Sungai Kemaman di Jambatan Ban Ho, telah melepasi paras bahaya.

DiPAHANG, mangsa banjir meningkat hampir sekali ganda kepada 4,729 orang daripada 1,163 keluarga di enam daerah petang ini berbanding 2,555 orang daripada 598 keluarga tengah hari tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, kesemua daerah terbabit menunjukkan pertambahan bilangan mangsa banjir dengan daerah Kuantan menempatkan mangsa paling ramai iaitu 2,704 orang daripada 708 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan.

Di Maran melibatkan 1,187 orang daripada 274 keluarga di 11 pusat pemindahan, Lipis (470 orang daripada 107 keluarga di 10 pusat), Rompin (227 orang daripada 50 keluarga di tiga pusat), Jerantut (113 orang daripada 18 keluarga di 10 pusat) dan Pekan 28 orang daripada enam  keluarga di satu pusat), katanya kepada Bernama.

Katanya, beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan- Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis dan Jerantut-Kuala Tahan.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia menunjukkan paras air di empat batang sungai utama di Pahang masih kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Kuantan Bypass.

DiSABAH, keadan banjir di Tenom bertambah baik apabila hanya tinggal 19 mangsa di pusat pemindahan petang ini berbanding 194 mangsa tengah hari tadi manakala di Beufort jumlah mangsa meningkat kepada 268 orang , pertambahan 70 orang daripada tengah hari tadi.

Jumlah korban banjir masih kekal empat orang setakat ini.

Bagaimanapun, mayat seorang lelaki yang dipercayai hilang ketika mandi di sungai di Taman Rekreasi Kuala Ibai, Kuala Terengganu 14 Dis ditemui di pesisir Pulau Kapas semalam (22 Dis).

Seorang lelaki dipercayai kurang siuman pula dikhuatiri lemas di Kuantan hari ini selepas terjatuh di Sungai Lembing manakala mayat seorang lelaki yang hilang di Pantai Kampung Baru Gebeng di Kuantan ketika memancing Ahad lepas ditemui kira-kira 2.5km dari tempat kejadian, pagi tadi. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.