Rusuhan Piala AFF 2014 : Seorang Lagi Perusuh Mengaku Tidak Bersalah Ditahan

Shah Alam – Seorang lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada 7 Dis lepas.

Tertuduh, Muhamad Izzat Mohd Khir, 25, yang bekerja sebagai pembantu jualan di Senawang, Negeri Sembilan, didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia bersama-sama lima lelaki yang telah dituduh dan beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip memohon supaya mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berikutan anak guamnya itu berpendapatan rendah dan masih tinggal bersama ibunya.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Norshakinah turut memerintahkan Muhamad Izzat melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Dalam insiden pada 7 Dis lepas, sekumpulan penyokong Harimau Malaya, yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam.

Ketika kekecohan itu, seorang penyokong Vietnam mengalami kecederaan dan susulan itu, sembilan lelaki ditahan reman pada 12 Dis lepas bagi membantu siasatan.

Pada 17 Dis lepas, lima lelaki yang ditahan telah didakwa di mahkamah tersebut atas kesalahan sama dan polis sedang menjejaki saki baki individu yang masih bebas. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.