PT3 Platform Kembalikan Keyakinan Rakyat Kepada Sistem Pendidikan – Irmohizam

Kuala Lumpur – Kerajaan dilihat perlu menjadikan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebagai platform mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan awam negara.

Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang menerima pelbagai reaksi dilihat hasil ketidakpuasan dan kekecewaan terhadap keputusan yang diterima.

“Pelbagai reaksi termasuklah daripada pelajar dan guru yang menyifatkan pelaksanaan pertama PT3 sebagai suatu yang mencabar buat mereka. Apatah lagi ramai pelajar mula memuat naik keputusan mereka di Twitter dan Facebook di media sosial yang mendapat perhatian orang ramai.

“Terdapat juga ibu bapa yang meluahkan bahawa pelajar tingkatan tiga tahun ini dijadikan bahan ujikaji untuk PT3 dan mereka jadi mangsa kepada keputusan peperiksaan yang boleh disifatkan sebagai hancur,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Irmohizam mengulas prestasi pelajar yang kurang memberangsangkan dalam PT3 yang dikesan berpunca daripada kekurangan tempoh masa untuk guru dan pelajar membuat persediaan secukupnya.

Bagaimanapun kata Irmohizam, biarpun ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini, ia tidak boleh dibandingkan dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Pembelajarannya yang berbeza dan format kedua-dua peperiksaan juga jauh berbeza dimana PT3 menguji pelajar berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” jelasnya.

Irmohizam turut mencadangkan kerajaan untuk melakukan ‘post mortem’ dan melihat kekurangan PT3 yang boleh ditambah baik pada masa hadapan.

“Setelah mengambil kira pandangan semua pihak khususnya, pelajar, ibu bapa, dan guru-guru, saya ingin mengesyorkan kepada pihak Kerajaan supaya mengadakan pemeriksaan semula atau ‘post-mortem’ terhadap keputusan PT3 baru-baru.

“Hasil keputusan itu bolehlah diambil kira untuk tindakan penambahbaikan proaktif yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, ibu bapa juga perlu menilai semula lima aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sudah dibentang sebelum ini sebagai aspirasi kecemerlangan pendidikan negara.

“Ia termasuk akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, dan inilah yang perlu dicapai oleh pelajar dan perubahan sistem pendidikan negara.

“Semuanya berteraskan kepada kemampuan pelajar itu sendiri dalam menguasai proses pendidikan yakni bersifat global, berdaya saing dan kompetetif,” ujarnya.

Seramai 453,413 calon di yang telah menduduki ujian PT3 di 2,608 pusat peperiksaan pada Oktober dan menerima keputusan mereka pada Isnin. – Awani

One thought on “PT3 Platform Kembalikan Keyakinan Rakyat Kepada Sistem Pendidikan – Irmohizam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.