PT3 : Mengejutkan, Kemerosotan Mendadak Pelajar Mencapai Keputusan A Penuh

Kuala Lumpur – Keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan semalam mengundang pelbagai pendapat di kalangan ibu bapa, guru-guru dan ahli akademik.

Hasil sulung PT3 yang dilaksanakan tahun ini, menyaksikan keputusan mengejutkan dengan beberapa sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.

Bagaimanapun, kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini.

Berdasarkan tinjauan di beberapa negeri semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman mendapat keputusan cemerlang 11A dan 10A bagi PT3 mereka.

Berhubung pencapaian tersebut, Pengetuanya, Azizah Jusoh, berkata tidak dapat membuat perbandingan PT3 hanya bermula tahun ini, tetapi menyifatkan keputusan tersebut sebagai permulaan yang baik

Bagaimanapun kebanyakan sekolah yang dikunjungi terutamanya beberapa buah sekolah cemerlang mencatatkan pencapaian yang merosot dalam PT3. Antara sekolah cemerlang di Pulau Pinang yang mengalami kesan keputusan kurang memberangsangkan daripada pelaksanaan PT3 tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Agama Al-Irshad, SMK (P) St. George’s dan SMK Agama Al-Mashoor (L)

Pengetua SMK Bukit Jambul, Norzeela Abu Bakar berkata, hanya enam daripada 183 calon PT3 sekolah itu mencatatkan keputusan semua A. Beliau mengakui agak sukar untuk membandingkan pencapaian PT3 dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana format kedua-dua peperiksaan jauh berbeza. Melalui PT3 pelajar diuji dengan soalan berasaskan Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) dengan tiada soalan berbentuk objektif seperti PMR.

Sementara itu Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Noor Aini Zainal Abidin menyatakan bahawa keputusan PT3 di sekolah tersebut agak menyedihkan kerana sasaran awal berdasarkan pencapaian tahun sebelumnya adalah lebih 60 pelajar akan memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran. Sebaliknya, hanya 22 daripada 123 pelajarnya mendapat keputusan 7A ke atas. Beliau begaimanapun mengakui bahawa pencapaian PT3 tidak boleh dibandingkan dengan PMR kerana pembelajarannya yang berbeza.Oleh itu, beliau berpendapat pihak sekolah perlu mengkaji semula kaedah dan strategi baru bagi menghadapi PT3 pada tahun hadapan.

SMK Infant Jesus Convent di Melaka mencatat seramai sembilan pelajar cemerlang daripada 219 pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut dalam PT3. Pengetuanya, Norizan Ismail mengakui bahawa keputusan jauh berbeza dengan hanya sembilan pelajar cemerlang dalam PT3 berbanding secara keseluruhan, sekolah itu memperoleh tidak kurang daripada 60 pelajar yang cemerlang dalam PMR sebelum ini.

Tinjauan di beberapa sekolah menengah di Pahang juga mendapati keghairahan pelajar untuk meraikan keputusan PT3 tidak begitu meriah berbanding semasa PMR dahulu berikutan kekurangan ramai calon cemerlang. Keputusan di sekolah-sekolah, rata-rata dilapor mencatatkan penurunan jumlah pelajar cemerlang. Antara sekolah yang dikunjungi termasuk SMK Panglima Perang Tengku Muhammad (Kuantan), SMK Jengka Pusat serta beberapa buah sekolah di Maran.

Pengetua SMK Panglima Perang Tengku Muhammad, Mohd. Yunus Mahil berkata, pihaknya sudah menjangkakan pencapaian 257 calon pelajar PT3 sekolah itu akan kurang memuaskan. Beliau bagaimanapun, menasihati ibu bapa agar tidak terkejut dan risau kerana PT3 baru diperkenalkan dan tentu ada sedikit kesan terhadap keputusannya jika dibandingkan rekod-rekod sekolah pada PMR sebelum itu.

Sehubungan itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut mempersoalkan PT3 ini.

Menurutnya reaksi yang beliau dapat terutama daripada ibu bapa calon ternyata mereka kecewa dengan PT3.

Beliau mendapati ibubapa dan para guru yang ditemuinya sependapat mengenai PT3, “sebagai peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir,” katanya, lapor Sinar harian.

Memetik entri, Agus melalui laman sosial Facebooknya, katanya luahan hati ibu bapa calon juga mengatakan bahawa PT3 dilaksanakan secara tergesa-gesa sehinggakan anak-anak mereka tidak sempat untuk ‘bersiap siaga’.

“Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi,” katanya.

Menurut beliau, ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah itu kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya.

Beliau menegaskan, oleh itu pandangan ibu bapa dan guru adalah perlu mengenai PT3 perlu diambil kira sekiranya sayangkan pendidikan negara.

“Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?,” soalnya.

Melihat kepada kecelaruannya, Agus berpendapat KBAT tidak dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita.

“Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya,” tanyanya lagi.

PT3 adalah satu usaha jangka panjang kerajaan dan memerlukan kerjasama semua pihak bermula dari ibu bapa sehinggalah pihak pengurusan sekolah. PT3 menguji keupayaan pelajar menguasai proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan juga Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan. Lima aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, inilah yang perlu dicapai oleh pelajar. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.