Pejuang Kurdis Yakin Dapat Tawan Semula Sinjar

Iraq – Pejuang Kurdis dan Yazidi kini bertempur untuk menawan semula bandar Sinjar daripada penguasaan kumpulan militan Islamic State (IS) yang terletak di lokasi strategik di utara Iraq.

Pejuang Kurdis dan Yazidi yakin dapat menawan semula Sinjar selepas berjaya menguasai Gunung Sinjar yang terletak di belakang bandar itu daripada kepungan militan IS sejak beberapa bulan lalu.

Gunung Sinjar menjadi lokasi perlindungan beratus-ratus penduduk kaum Yazidi yang melarikan diri selepas Sinjar ditawan militan IS pada Ogos lalu.

Kejayaan menawan semula Sinjar pasti dianggap satu kejayaan besar oleh kumpulan pejuang tempatan dan kerajaan Iraq yang sebelum ini dilihat sukar membendung kemaraan militan IS.

Jika Sinjar berjaya ditawan, tentera Iraq boleh memutuskan satu laluan utama dari Syria ke Mosul yang merupakan laluan penghantaran bekalan penting untuk kumpulan IS.

Dibantu dengan serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat, pejuang Kurdis dan Yazidi serta dibantu pejuang Kurdis dari Syria dan Turki cuba memasuki Sinjar dari wilayah Rabia di barat serta dari Gunung Sinjar di utara.

Presiden wilayah Kurdis di Iraq, Masoud Barzani yang melawat Gunung Sinjar berikrar untuk menawan semula seluruh bandar Sinjar.

“Banyak lokasi di Sinjar kini sudah berada bawah penguasaan kami dan dengan bantuan Tuhan kami akan membebaskan seluruh bandar ini.

“Bantuan daripada tentera perikatan sangat penting dan sokongan yang diberi mereka sangat efektif,” katanya.

 

-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.