Mahfuz Cadangkan Tubuh Suruhanjaya Siasat Ketirisan 1MDB Dan MAS

Kuala Lumpur – Sebuah Suruhanjaya Bebas hendaklah ditubuhkan bagi menyiasat secara menyeluruh ketirisan seperti yang berlaku pada 1MDB dan MAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar ketika mencadangkan perkara tersebut menegaskan masih belum terlewat untuk kerajaan memperjelaskan secara terperinci kepada masyarakat mengenai orang yang bertanggungjawab berlakunya masalah tersebut.

Beliau berkata kerajaan harus memandang serius kerana isu itu telah mendapat teguran daripada pemimpin UMNO seperti Timbalan Ketua UMNO Pulau Pinang dan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahfuz mendakwa, isu 1MDB akan memberi kesan besar kepada kerajaan untuk mencari satu dana bagi menyelamatkan negara kita.

“Kerajaan mungkin akan terikat untuk meminjam dana IMF dan akan menghadapi tekanan dari Amerika. Selain itu kemungkinan Amerika akan mengenakan syarat kepada kerajaan Malaysia bagi menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasisik (TPPA) dan ini satu penjajahan baru terhadap negara kita,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Mahfuz juga bersetuju dengan pendapat bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang kecewa apabila melihat syarikat yang dahulunya gah terbang di udara kini hampir menyembah bumi.

Lapor akhbar Sinar Harian, Bekas pengarah urusan MAS tidak sanggup melihat syarikat yang dijaganya selama 20 tahun kini kerugian hampir RM7 juta setiap hari, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan semasa beliau dan pasukannya membuka MAS pada 1972 sehinggalah beliau bersara daripada syarikat itu pada1992.

Abdul Aziz menegaskan, terlalu banyak masalah dihadapi MAS selama ini dan pihak bertanggungjawab tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Mahfuz yang menyokong langkah penstrukturan semula MAS berkata MAS telah mengalami kerugian sehingga kehilangan duit berbilion- bilion sehingga kerajaan terpaksa menambah lagi 6 bilion untuk memulihkan MAS.

“Apa berlaku hari ini rakyat terpaksa menerima hukuman daripada pemulihan MAS.

“Saya sebelum ini telah menuntut tubuh satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat semua permasalahan ini supaya kita temui masalah kenapa kerugian, apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab untuk diseret ke muka pengadilan. Barulah kita adil kepada rakyat,” ujarnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.