Kit Siang Persoalkan Jawatankuasa Kerja Dan Laporan RCI Sabah

Kuala Lumpur – Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pengumumannya mengenai Jawatankuasa Kerja dan Tetap Laporan RCI Sabah.

Zahid dalam kenyataannya minggu lalu berkata jawatankuasa mengadakan mesyuarat tidak rasmi pertama di kediaman Ketua Menteri, Selasa lalu.

“Apa yang dimaksudkan dengan ‘mesyuarat tidak rasmi pertama’ ini? Adakah bermakna jawatankuasa belum ditubuhkan? kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sehingga hari ini senarai penuh ahli kedua-dua jawatankuasa masih belum dikeluarkan.

“Ini bermakna, pertemuan kedua-dua jawatankuasa sama ada rasmi atau tidak, sememangnya tidak pernah berlaku,” tegas Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang mengkritik jawapan Zahid berhubung pelantikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja RCI.

“Zahid mengatakan beliau secara lisan bersetuju dengan pelantikan Pairin, tetapi mahu memeriksa sama Pairin secara rasmi telah menerima pelantikan tersebut.

“Tidak masuk akal! Bagaimana Zahid boleh mendakwa Jawatankuasa Kerja mengadakan mesyuarat ‘tidak rasmi’ pertama apabila dia tidak tahu sama ada Pairin telah diterima secara rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja?

“Adakah kita mempunyai ‘jawatankuasa hantu’ yang mengadakan ‘mesyuarat hantu?

“Apakah ini akan menjadi ‘pesta hantu’ di Sabah ditambah ratusan ribu pengundi hantu dalam daftar pemilih negeri itu,” ujar Kit Siang sinis.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menggesa Pairin tidak berdiam diri dan menyatakan kedudukannya dalam Jawatankuasa Kerja Laporan RCI Sabah.

Beliau menggesa Pairin menjawab sepuluh soalan berhubung pelantikan, senarai penuh Jawatankuasa Kerja,  tarikh mesyuarat pertama, kekerapan pertemuan dan tarikh akhir laporan dikemukakan ke Jawatankuasa Tetap.

“Kita mahu tahu sama ada Pairin dan ahli Jawatankuasa Kerja mempunyai akses penuh kepada 5,000 muka surat yang hilang dalam Laporan RCI Sabah serta memastikan ia dikeluarkan untuk kajian awam.

“Adakah Pairin akan meminta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengadakan mesyuarat tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh 30 hari akan datang untuk membahaskan Laporan RCI? soal Kit Siang. – Roketkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.