Hudud : Bukan Dasar Bersama Pakatan Rakyat – Azmin

Subang Jaya – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyatakan, beliau menghormati penggubalan enakmen yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1993 berkenaan perlaksanaan Hudud.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Hudud bukanlah dasar bersama Pakatan Rakyat kerana Barisan Alternatif ditubuhkan pada tahun 1999.

“Kita juga hormati pendirian DAP dalam isu ini. Tetapi Pakatan Rakyat telah bersetuju setiap cadangan haruslah dibawa dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor di sini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan membincangkan maqasid syariah semasa mesyuarat majlis presiden.

“Saya diberitahu oleh (Ketua Umum PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, sidang Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan dilakukan pada awal Januari tahun hadapan.

“Antara isu yang kita akan bincangkan adalah isu perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), ekonomi, rasuah di Putrajaya. Bahkan Hudud juga akan dibincangkan jika ada yang membangkitkan,” kata beliau.

Azmin menjelaskan, Hudud bukan isu individu di dalam parti kerana dasar yang digubal mestilah dimuafakati oleh komponen Pakatan Rakyat.

“Tidak ada cadangan juga untuk bawa Hudud ke Parlimen setakat ini. Bahkan, tidak pernah ada cadangan untuk dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Semalam, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyatakan, ahli dan pemimpin PKR yang beragama Islam haruslah menyokong perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan.

Bagaimanapun, Azmin tidak menjawab secara jelas apakah pendirian PKR terhadap kenyataan Zaidy itu. – FMT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.