Berang Tidak Dengar Teguran, Pemuda Serang Adiknya Dengan Parang

Kuala Terengganu – Seorang pemuda seperti dirasuk hantu apabila menyerang adik perempuannya dengan sebilah parang hanya kerana bengang mangsa tidak mendengar tegurannya, dalam satu pertelingkahan adik-beradik di kediaman mereka di Kampung Baru, Seberang Takir, di sini, Jumaat lalu.

Bukan itu sahaja, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 30 tahun bertindak gila melepaskan perasaan amarahnya apabila cuba membakar kediaman yang dihuni mereka sekeluarga.

Menurut sumber, sebelum insiden itu berlaku, suspek dan mangsa, 26, hanya bertengkar mulut dipercayai kerana salah faham kecil sebelum menjadi lebih hebat apabila suspek bertindak mengambil parang dan mengacukan ke arah mangsa.

“Suspek yang gagal mengawal perasaan amarahnya mencapai parang yang ada di atas kabinet televisyen lalu mengacukan ke arah mangsa, namun mangsa bernasib baik apabila ibu mereka yang secara kebetulan ada di rumah sempat menghalang tindakan itu.

“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati masuk semula ke dalam rumah sambil membawa sebotol petrol sebelum nekad mencurahkan petrol berkenaan ke atas tilam yang diletakkan di hadapan televisyen dan terus membakar tilam tersebut,” katanya.

Jelas sumber, niat suspek untuk membakar rumah berjaya dihalang oleh mangsa dan ibu mereka apabila sanggup menggadai nyawa memadamkan api yang sedang marak membakar tilam berkenaan.

“Semasa kedua beranak itu sibuk memadamkan api yang sedang menyala, suspek tanpa perikemanusiaan hanya ketawa sambil berkata “Kang aku kata doh.. nok bakar rumah”.

“Sebaik melihat api berjaya dipadamkan, suspek bertambah tidak puas hati terus keluar dari rumah sebelum mengambil sebotol lagi petrol dan sekali lagi mengugut akan meneruskan niatnya untuk membakar rumah mereka,” katanya.

Tambah sumber, walaupun suspek hanya mengugut, mangsa yang bimbang akan keselamatan keluarga terutamanya kediaman mereka selepas melihat tindak tanduk suspek yang seperti orang gila sebelum ini, nekad membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, di sini.

Sementara itu, Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Kuala Terengganu, Mohd Firdaus Abdul Rahim membenarkan suspek direman sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.