Memori sedih Harimau Muda

NAY PYI TAW – Hampa dan sedih, hanya dua ayat itu sahaja mampu menggambarkan kegagalan skuad Harimau Muda mempertahankan ibu kepada segala pingat emas yang telah dimenangi pada Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011.

Memberikan sedikit harapan apabila layak penuh bergaya ke separuh akhir mengalahkan Vietnam 2-1, nasib tidak menyebelahi anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila kalah menerusi tendangan sepakan penalti 3-4 kepada Indonesia selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

Menambahkan lagi kedukaan, mereka pulang dengan tangan kosong apabila ‘badi’ ketika bertemu Singapura seperti seolah-olah sukar dihapuskan apabila kalah 1-2 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Selain mengalahkan Vietnam, Malaysia sebelum itu mengungguli peringkat Kumpulan A dengan muncul juara dengan merekodkan tiga kemenangan (Brunei 2-0, Laos 4-1) dan seri 1-1 dengan Singapura.

Sememangnya skuad bimbingan Kim Swee sebelum hadir ke bumi Myanmar telah menghadapi masalah kecederaan yang cukup serius terutama di bahagian sayap sebaik sahaja Wan Zack Haikal Wan Nor, Syahrul Azwari dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mendapat kecederaan.

Keadaan menjadi semakin parah apabila skuad kebangsaan turut kehilangan khidmat Nik Shahrul Mohd. Azim, Junior Eldstal, Gary Steven Robbat, Mohd. Amer Saidin dan Fandi Othman, yang boleh dianggap memiliki pengalaman yang cukup luas pada pertandingan tertinggi seperti Sukan SEA.

Situasi itu memaksa Kim Swee terpaksa bergantung kepada Ashri Chuchu dan D. Saarvindran sahaja, dua pemain yang boleh mengisi posisi sayap kiri dan kanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.