MP Beruas Ungguli Senarai Perisytiharan Harta, Miliki Aset Bernilai RM75.8 Juta

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengungguli senarai Perisytiharan Harta dalam kalangan ahli Parlimen apabila merekodkan jumlah pengisytiharan harta tertinggi berjumlah RM75,816,184.00.

Berdasarkan portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pautan mydeclaration.sprm.gov.my. penasihat DAP Perak itu mengisytiharkan keseluruhan aset milik dirinya termasuk isteri dan anak.

Di tangga kedua pula Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad yang mengisytiharkan memiliki aset bersama isteri, Tun Siti Hasmh Mohamad Ali berjumlah RM32.4 juta.

Sementara itu Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berada di tangga ketiga apabila mengisytiharkan memiliki aset bersama isterinya berjumlah RM23 juta.

Tangga keempat pula direkodkan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mengisytiharkan aset bersama isteri dan anaknya bernilai RM15.3 juta.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mengisytiharkan aset berjumlah RM 4.3 juta milik sendiri dan isterinya, manakala anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng setakat ini belum berbuat demikian apabila tiada maklumat mengenai dipaparkan portal berkenaan.

Portal Perisytiharan Harta yang dibangunkan oleh SPRM disediakan untuk membolehkan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen kerajaan dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan.

Sebelum ini, senarai perisytiharan harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen yang sepatutnya dipaparkan di portal SPRM pada 1 Oktober lalu ditunda ke 15 Oktober berikutan semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen belum genap tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.