Menteri Berang Ditanya Isu Anak Menteri Kawal Tender Kementerian

KUALA LUMUPUR – Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Mohamaddin Ketapi semalam dilaporkan berang apabila diajukan soalan berkaitan dakwaan salah laku seorang anak Menteri Pakatan Harapan (PH) mencampuri urusan kementerian dan mengawal kontrak tender.

Mohamaddin, dipetik dari laporan Astro Awani dan Malaysiakini, berkata tiada Menteri PH yang begitu bodoh untuk membiarkan anak-anak mereka mengawal selia urusan mana-mana kementerian.

“Anda jangan percaya benda-benda sampah dan karut seperti itu,” kata Mohamaddin, yang juga Ahli Parlimen Silam dari Parti Warisan.

Astro Awani sebelum ini melaporkan, terdapat dakwaan seorang anak Menteri terlibat ‘mengawal’ aktiviti kementerian tempat ayahnya bertugas, termasuk menentukan syarikat mana yang berhak menerima kontrak tender kerajaan secara terus.

Mengulas lanjut, Mohamaddin menyifatkan dakwaan seperti itu sengaja dihebahkan pihak tak bertanggungjawab yang mempunyai busuk hati.

Dalam perkembangan berkaitan, kelmarin, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa SPRM akan mengkaji dan menyiasat dakwaan berkenaan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.