Jangan Berani Usik Hal Berkaitan Islam dan Melayu

RANTAU PANJANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap mengambil iktibar terhadap tindakan rakyat berhimpun di pelbagai lokasi di seluruh negara sejak minggu lalu, termasuk di daerah ini hari ini bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, kesanggupan berhimpun tanpa mengira fahaman politik dalam keadaan cuaca panas terik bagi menyatakan bantahan merupakan satu tindak balas segera kumpulan majoriti di negara ini jika hal berkaitan Islam dan Melayu cuba ‘diusik’ mana-mana pihak.

“Sebagaimana perhimpunan terdahulu di beberapa tempat, rakyat Kelantan hari ini berkumpul di Rantau Panjang kerana kami ingin memberi mesej kepada kerajaan PH, jangan bermain dengan api. Walaupun Rantau Panjang jauh di hujung sempadan negara, suara kami tetap bergema.

“Bayangkan ketika dalam Parlimen, ada antara mereka menganjing (memperolok) kita, mampu ke untuk kita kumpul sejuta rakyat bagi membantah ICERD? Ya, saya yakin kita mampu dan umat Islam akan tunjukkan kebersamaan dalam hal ini,” katanya..

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perhimpunan ‘Ayuh Rakyat Kelantan: Seruan Turun Ke Demonstrasi Aman Bantah ICERD’ di pekarangan Masjid Beijing, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 1,000 umat Islam termasuk barisan pemimpin sayap-sayap Pas dan UMNO Rantau Panjang.

Susulan bantahan pelbagai pihak di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu, Kerajaan PH hari ini mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini, kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.