ICERD: PAS Sambut Baik Keputusan Kerajaan, Tapi Tetap Teruskan Himpunan 8 Disember

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disambut baik oleh PAS, namun parti itu menegaskan tetap akan meneruskan himpunan sebagaimana yang dijadualkan pada 8 Disember ini.

Memetik laporan Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan menjelaskan, bagaimanapun rancangan tersebut akan bertukar format kepada himpunan kejayaan dan kesyukuran rakyat menolak ICERD yang akan diisi dengan solat hajat dan ucapan daripada para pimpinan.

Tambah beliau, rakyat telah menunjukkan kesediaan untuk menyertai himpunan tersebut dengan pelbagai persiapan diatur di negeri masing-masing.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Kamaruzaman Mohamad yang juga dipetik portal itu menegaskan, pihaknya selaku penganjur bersama Sekretariat Kedaulatan Negara (DAULAT) akan tetap meneruskan himpunan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan sebentar tadi berkata kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD.

“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” demikian menurut kenyataan tersebut. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.