Celup Muka Pekerja Dalam Sup Panas, Bos Beri Alasan ‘Prank’

MAJIKAN sebuah syarikat hiburan Jepun disaman bekas pekerjanya selepas dia mencelup muka stafnya itu ke dalam periuk sup yang sedang mendidih semasa berlangsungnya acara syarikat.

Insiden itu berlaku pada Disember 2015, tetapi mendapat perhatian sekali lagi selepas media melaporkan mengenai tuntutan mahkamah terhadap kes tersebut minggu ini.

Sebuah video kejadian juga disiarkan semula di YouTube oleh Daily Shincho.

Tidak dapat dipastikan mengapa tempoh masa tiga tahun diambil untuk pekerja berkenaan mengambil tindakan undang-undang.

Menurut Apple Daily, presiden syarikat itu telah menolak dan mencelup muka mangsa, yang ketika itu berusia 23 tahun ke dalam periuk sup yang sedang mendidih semasa acara makan-makan akhir tahun.

Dia tidak diselamatkan, sebaliknya rakan-rakan lain terus bersorak, dengan seorang lelaki dapat dilihat terus memasak hidangan seperti stimbot menggunakan periuk yang sama.

Masih tidak puas hati, bos itu dipetik sebagai berkata: “Ada pelanggan di sini, jadikan ia lebih menyeronokkan.”

Dia kemudian mencelup muka mangsa ke dalam sup untuk kali kedua. Kali ini, tindakannya itu lebih teruk dan kasar, sehingga periuk terjatuh dari dapur.

Foto wajah mangsa selepas kejadian menunjukkan kesan lepuh dan parut.

Ketika ditemuramah oleh Weekly Shincho, presiden syarikat itu mendakwa kejadian itu ‘hanya sekadar prank (usikan)’.

Mangsa mendakwa dia sentiasa dibuli di tempat kerja dan mengalami tekanan emosi dan fizikal sejak kejadian itu.

Kesan melecur di wajahnya dilaporkan mengambil masa sebulan untuk sembuh.

Video itu tular di YouTube dan di laman blog mikro Weibo, yang mana ia telah ditonton lebih 4 juta kali.

Netizen marah dan mengutuk perbuatan buli selain menyatakan sokongan mereka terhadap mangsa dalam membawa pelaku ke muka pengadilan.

Kejadian itu juga ditonjolkan dalam satu kaji selidik oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun baru-baru ini yang memperlihatkan bahawa gangguan di tempat kerja oleh pihak atasan telah meningkat.

Bercakap mengenai kejadian itu, lelaki tersebut menyatakan kesedihannya: “Apabila saya melihat periuk panas, ia mengingatkan saya tentang masa lalu dan ia sangat menyakitkan.” – AsiaOne

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.