Anwar Melenting Bila Ditanya Isu Kemelut PKR

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘melenting’ kepada wartawan yang mengajukan soalan kepadanya berhubung kemelut yang menyelubungi PKR Sarawak membabitkan perebutan jawatan pengerusi parti di negeri itu.

Riak wajah Presiden PKR itu kelihatan marah dengan nada yang agak tinggi apabila beliau menegaskan kepada wartawan berkenaan supaya tidak menyibuk hal parti itu di Sarawak.

“Kamu sibuk apasal (kenapa)? Apa masalah?

“Kenapa tak tanya (hal) Pengerusi Selangor? Kenapa tak (Pengerusi) Pulau Pinang? Perlis,” katanya kepada pemberita selepas memberi Syarahan Za’ba 2018 bertajuk Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa PKR Sarawak kini berhadapan kemelut baru selepas selesai pemilihan.

Laporan itu mendakwa, ia membabitkan kemelut siapa Pengerusi PKR Sarawak yang baharu sama ada Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian atau pun Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Ada juga desas-desus dalam kalangan ahli di negeri itu yang mengatakan bahawa PKR Sarawak mempunyai autonomi untuk memilih siapa pengerusi parti di Sarawak dan ada yang mendakwa ia tertakluk kepada keputusan presiden.

Ketika ini, Pengerusi PKR Sarawak disandang oleh Baru Bian.

Mengulas kemelut berkenaan, Anwar berkata, masalah itu akan dirujuk perlembagaan parti sebelum keputusan dibuat.

“Kita ikut perlembagaan. Benda ini tak bangkit pun. Hanya dibangkitkan media.

“Ada satu, dua orang itu (di peringkat cabang yang mempertikai) itu biasalah,” katanya.

Mengenai ketidakhadiran Menteri Kerja Raya, Baru Bian dalam Kongres Nasional PKR baru-baru, Anwar akan menasihati beliau supaya memberi keutamaan program yang perlu dihadiri.

Anwar kata, jika pemimpin PKR yang bergelar menteri terpaksa hadir program kementerian, mereka mungkin jadikannya sebagai alasan untuk tidak menghadiri kongres.

“Ya, sudah semestinya saya akan nasihat beliau supaya pada masa akan datang perlu pastikan apa keutamaan yang perlu didahulukan.

“Beliau ada beri penjelasan. Tetapi saya bimbang apabila setiap menteri beri alasan berkenaan (hadir program kementerian), tiada siapa akan hadir ke kongres PKR,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.