Pemimpin Negara Asing Kagum Cara Malaysia Anjur Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR – Para pemimpin negara asing, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kagum dengan cara Malaysia mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang baru saja berakhir.

 

Pemimpin berkenaan yang berkunjung ke ibu negara Malaysia untuk menghadiri sidang kemuncak itu, menyuarakan kekaguman mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejayaan cemerlang beliau sebagai tuan rumah sidang kemuncak itu, hingga menjadikan ‘Malaysia menyinar di pentas dunia’.

 

“Mereka memberitahu saya secara langsung atau tidak langsung tentang bagaimana Malaysia telah menganjurkan sidang kemuncak berkenaan dengan begitu cemerlang,” katanya ketika menceritakan tentang interaksi beliau dengan pemimpin berkenaan kepada para pegawai dan petugas yang telibat dengan sidang kemuncak itu pada majlis Jamuan Malam Penghargaan selepas berakhirnya sidang kemuncak itu, Ahad.

 

Ketika mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menjadikan sidang kemuncak itu suatu kejayaan besar, Najib juga berkongsi kisah Obama, yang pada mulanya ingin meninggalkan majlis Jamuan Malam Gala pada pertengahan jalan iaitu pada 10.30 malam Sabtu, tetapi akhirnya menunggu hingga selesai kerana terhibur dengan persembahan yang diadakan.

 

Perdana Menteri berkata sidang kemuncak itu adalah sidang kemuncak paling baik yang pernah disertainya dan beliau berbangga dengan hasilnya yang begitu mengagumkan.

 

“Ia merupakan persembahan yang sungguh hebat, kita membuktikan yang kita mampu menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya.

 

Oleh kerana begitu berterima kasih kepada mereka yang terlibat dengan penganjuran sidang kemuncak itu, Najib berkata: “Mungkin saya boleh bercakap kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa) untuk memberi cuti tanpa rekod.”

 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana memastikan sidang kemuncak itu berlangsung dengan amat selamat tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

 

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.