Mayat Pelakon Kollywood Ditemui Di Air Terjun Di Bidor

IPOH – Mayat seorang pelakon lelaki Kollywood yang dikhuatiri lemas di Air Terjun Lubuk Degong, Kampung Chang, Bidor ditemui tersangkut di celah batu kira-kira 300 meter dari tempat kejadian, semalam.

 

L. Keshava Rajan, 25, warga tempatan yang berlakon di Selatan India itu, dilaporkan hilang selepas tergelincir dan dihanyutkan arus deras semasa berkelah bersama keluarganya di kawasan air terjun berkenaan pada kira-kira 5.45 petang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata seramai 10 pegawai dan anggota menjalankan semula operasi mencari serta menyelamat bersama-sama empat agensi lain termasuk bomba sejak pukul 8 pagi tadi.

 

“Operasi kami ditangguhkan petang semalam kerana cuaca gelap,” katanya.

 

Som Sak berkata mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat pada kira-kira 9.30 pagi dalam keadaan terapung dan tersangkut pada batu di tebing sungai dalam jarak 300 meter dari lokasi kejadian.

 

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

 

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Hutan Melintang, Teluk Intan di sini merupakan pelakon Kollywood Selatan India.

 

Filem pertama lakonannya bertajuk ‘Ka Ka Ka Po’ dan bakal ditayangkan bulan depan.

 

Beliau sepatutnya berlepas ke Chennai hari ini bagi membuat persiapan terakhir bersempena majlis pelancaran serta tayangan perdana filemnya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!