Low Yat ‘Bumiputera’ Dibuka Bulan Depan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR — Selepas pergaduhan di Plaza Low Yat di Bukit Bintang melibatkan sentimen perkauman, “Low Yat 2” akan dibuka di bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada minggu pertama Disember ini.

 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 36 pengusaha dipilih, daripada lebih 1,000 permohonan, oleh agensi itu untuk membuka perniagaan telekomunikasi dan gajet di bangunannya di Jalan Raja Laut.

 

“Kesemua pengusaha adalah bumiputera. Kita jangkakan pusat itu nanti akan menjadi tempat tumpuan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan barangan teknologi pada harga yang lebih rendah berbanding tempat lain.

 

“Saya juga berharap semua barang yang dijual berkualiti tinggi dan sudah pasti sebarang produk tiruan akan dirampas oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang akan membuat pemantauan,” katanya seperti dilapor portal Kosmo! hari ini.

 

Pemimpin Umno itu berkata nama khas untuk pusat teknologi seakan-akan Low Yat itu juga akan diumumkan pada hari sama pelancaran.

 

Insiden pada Julai lalu melibatkan sekumpulan remaja lelaki bergaduh dengan pekerja kedai selepas seorang rakan mereka dituduh mencuri telefon bimbit.

 

Namun pergaduhan itu, yang tersebar di media sosial, mengaitkannya dengan isu perkauman.

 

Seorang lelaki yang mencetuskan pergaduhan itu masih dalam proses perbicaraan selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencuri telefon bimbit.

 

Ekoran kejadian, Ismail Sabri pada Ogos mencadangkan pembukaan plaza “Low Yat 2” untuk peniaga Melayu dan bumiputera, selain mahu mengelakkan masalah orang tengah.

 

Cadangannya itu dibantah MCA dan DAP yang menganggap pembukaan “Low Yat 2” akan mengeruhkan lagi perpaduan antara kaum. – MalayOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!