Cikgu ‘Gerenti Lulus’ Mengaku Salah Tawar Rasuah

KUALA LUMPUR – Seorang tenaga pengajar sekolah memandu hari ini dihukum denda RM15,000 dan dipenjara sehari selepas dia mengaku bersalah memberi suapan bagi memastikan seramai 23 calonnya lulus ujian berkomputer, awal tahun ini.

 

Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru, Mohd Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Chiah Yeo Shong, 65, selepas dia mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada Kamarudin Md Noor, seorang kakitangan Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (Rilek), sebagai dorongan kepadanya iaitu menguruskan ujian undang-undang berkomputer lesen memandu gerenti lulus bagi 23 orang calon.

 

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

 

Tertuduh telah menjelaskan denda RM15,000.

 

Tenaga pengajar Pusat Memandu Latihan Intensif Sdn Bhd itu dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 26 Mac 2015, lebih kurang 12.30 tengah hari di sebuah restoran di pasar raya Tesco Tebrau, Johor Bahru.

 

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 16 (b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

 

Pendakwaan SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorfazlin Hamdan. – TRP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.