Video: Sekolah Vernakular, Perwakilan UMNO Jangan Terlalu Emosi

Kuala Lumpur – Perwakilan UMNO diminta tidak terlalu beremosi, ketika membahaskan usul mengenai sekolah vernakular, di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 yang akan berlangsung 25 hingga 29 November ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembahas perlu berpijak di bumi nyata, sama ada ia mampu dilaksanakan atau tidak, tanpa menjejaskan hubungan antara kaum.

Malah, kata Hishammuddin, masyarakat pelbagai kaum juga perlu faham, kerana apa yang paling penting adalah perpaduan antara kaum.

“Anak-anak perlu dididik tanpa dibelenggu sentimen perkauman dan keagamaan yang menebal, sehingga kita hendak mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu itu tidak kesampaian.

“Tidak ada satu perkara yang boleh menyelesaikan semua masalah kita dan saya cukup yakin para pembahas kita matang,” katanya selepas program santai bersama peguam-peguam muda, anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Antarabangsa DAP, V Sivakumar dalam portal Roketkini yang mendakwa, UMNO sengaja mahu campur tangan dalam hal berkaitan sekolah vernakular, dengan membawa usul yang disifatkan usaha licik parti itu untuk menghilangkan identiti kaum Cina dan India di negara ini.

Terdahulu beliau turut mengingatkan Umno agar tidak apologetik dalam mempertahankan perkara-perkara yang menyentuh tentang agama, bangsa dan kedaulatan raja-raja.

Beliau berkata, perkara-perkara membabitkan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja itu disifatkan sebagai “tiang seri” yang mendukung kewujudan Umno.

“Umno tidak perlu apologetik dalam mempertahankan ‘tiang serinya’ itu, kerana perkara-perkara membabitkan agama, bangsa dan raja-raja juga termaktub di dalam perlembagaannya (Umno),” katanya pada majlis diskusi bersama kira-kira 100 peguam muda Melayu yang menganggotai Bona Fide Friends of Umno, anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Bona Fide Friends of Umno, yang diwujudkan di bawah biro itu, adalah satu kumpulan pengamal undang-undang yang mesra Umno dan menjadi platform alternatif untuk golongan itu menyuarakan pandangan mereka.

Turut hadir pengerusi biro itu Datuk Razali Ibrahim, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2014, berkata persoalan sama ada Akta Hasutan 1948 akan dipinda, dihapuskan atau menggubal akta baharu seperti Akta Keharmonian Nasional tidak timbul.

“Sama ada Akta Hasutan dipinda atau satu akta baharu digubal, ia akan tetap mempertahankan ketiga-tiga perkara membabitkan raja-raja, agama Islam dan bangsa Melayu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika ditemui menafikan perbahasan usul itu adalah satu tindakan untuk menghapuskan identiti mana-mana kaum, sebaliknya mahu memperbaiki sistem pendidikan di negara ini.

“Kalau itu yang dilakukan, sudah lama terhapus identiti banyak kaum di Malaysia ini.

“Jangan mengambil peluang dengan menimbulkan isu yang bukan-bukan. UMNO parti yang adil kepada semua kaum,” ujarnya.

Jelasnya, rakan-rakan komponen Barisan Nasional diminta menghormati UMNO, sebagaimana parti itu menghormati parti komponen lain dalam perhimpunan agung mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!