Video: Projek Perumahan Bernilai RM42,000 Untuk Warga Kota – Ku Nan

Kuala Lumpur – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya sedang mengusahakan projek perumahan mampu milik yang berharga RM42,000 khusus untuk wargakota yang berpendapatan rendah.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu projek perumahan itu tidak akan mengunakan modal daripada kerajaan sebaliknya merupakan kerjasama dengan syarikat korporat.

“Saya sebagai Menteri Wilayah sedang berusaha dan akan bangunkan projek perumahan bernilai RM42,000.00 di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.

“Saya akan minta pemaju untuk bangunkan (projek perumahan rakyat) dan ia tidak akan mengunakan duit kerajaan tetapi melalui projek Corporate Social Responsibility (Tanggungjawab Sosial Korporat)” katanya yang ditemui di Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Menurut Tengku Adnan untuk masyarakat berpendapatan sederhana pula projek pembangunan rumah berharga RM188,000 dan RM192,000 turut akan dibina bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum mempunyai rumah.

“Saya juga tekankan perumahan ini perlu dijual kepada Melayu (50 peratus), Cina (30 peratus) dan India ( 20 peratus) kerana populasi di Kuala Lumpur yang berbilang kaum.

“Kita nak buat satu kaedah agar mereka ini diletakkan dalam satu tempat yang melambangkan negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk” katanya.

Terdahulu beliau berkata tanah milik orang Melayu di ibu negara kini dianggarkan hanya berbaki 21.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding 100 tahun dulu.

Menurutnya peratusan pemilikan hartanah itu hanya mewakili sekitar 93,000 unit berbanding bangsa lain.

Jurang besar itu katanya menjadi cabaran yang harus dihadapi orang Melayu di Wilayah Persekutuan dan hakikat ini perlu ditelan biarpun pahit.

“Jika ratusan tahun dulu hampir 100 peratus tanah di Kuala Lumpur milik orang Melayu tapi sekarang hanya tinggal 21.7 peratus masih dimiliki bangsa kita. Persoalannya sampai bilakah 21.7 peratus itu boleh bertahan jika tiada penukaran minda, kaedah dan penyelesaian segera kita dilakukan.

“Jangan kita salahkan sesiapa kerana satu ketika dulu 30 peratus hartanah diberi kepada orang Melayu tetapi hilang begitu saja disebabkan sikap kita sendiri yang menggadai dan menjual kepada bangsa lain,” katanya ketika berucap pada Konvensyen tersebut  pagi tadi.

Konvensyen julung kali diadakan itu dirasmikan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan dihadiri kira-kira 600 pemimpin dari 13 bahagian UMNO Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata orang Melayu Wilayah Persekutuan juga dianggarkan mempunyai pendapatan purata sekitar RM2,000 hingga RM3,000 ringgit untuk setiap isi rumah, sebulan.

“Pemilikan rumah juga menyaksikan Melayu masih lagi ketinggalan berbanding bangsa lain. Bayangkan, harga rumah di ibu kota paling rendah adalah RM300,000 sedangkan kemampuan (membeli) untuk Melayu bandar adalah di bawah RM150,000 saja,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Tengku Adnan turut menggariskan lima agenda penting yang perlu digembleng barisan kepemimpinannya dalam usaha memperkasa Melayu bandar.

Ia termasuk memperkukuh agama Islam; memantapkan Barisan Nasional (BN); mendekati golongan belia dan profesional; meningkatkan jurang ekonomi Melayu bandar serta Strategi turun padang dan selami permasalahan rakyat .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.