Video: Ahli UMNO Perlu Muhasabah Diri – Najib

Kuala Lumpur – Kepimpinan UMNO perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan pengaruh khususnya di kawasan bandar.

Demikian saranan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menyatakan keperluan untuk parti mendekatkan diri dengan generasi muda agar tampak lebih moden, progresif dan dinamik.

Menyifatkan pengetahuan dan kemahiran itu sebagai politik ‘K’, Najib menjelaskan realiti politik bandar menuntut pendekatan berbeza daripada konteks luar bandar.

“Sebab bila kita dalam bandar orang pun lebih terpelajar, kepimpinan kita mesti juga berkemahiran dan terpelajar baru kita boleh pengaruhi mereka di kawasan kita,” kata Najib semasa berucap merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Selain politik ‘K’, katanya, kepemimpinan UMNO bandar juga perlu menguasai politik ‘Y’ yang menjurus kepada usaha mendekati golongan muda atau lebih dikenali sebagai Generasi Y.

“Kalau UMNO sayang orang muda, kita mesti beri laluan kepada orang muda. Kita mesti membimbing orang muda barulah UMNO dilihat parti yang moden, progresif dan dinamik, bukan parti kaku dan lesu.” kata Najib.

Tambah Najib, golongan itu perlu diberi perhatian kerana generasi Y merupakan penyambung legasi kepimpinan UMNO, sekali gus penentu kepada hala tuju parti dan masa depan negara.

Sementara itu, Najib menegaskan UMNO juga perlu bersikap lebih terbuka dan kreatif dalam menangani isu persepsi masyarakat terhadap parti itu.

Parti itu, katanya juga perlu melalui peremajaan agar kekal relevan, mengikut peredaran zaman.

“UMNO kena pandai main sosial media, UMNO kena buat ‘engagement’ dan UMNO kena lebih kreatif sebab kita tak boleh lagi nak suruh tutup Facebook, Twitter dan sebagainya, dah tak boleh sebab dunia sudah berubah. Itu bukan jawapannya. Jawapannya bukan nak mengongkong.

“Jawapannya dalam keterbukaan persekitaran baharu ini UMNO mesti jadi juara, lebih daripada pembangkang,” jelas Najib.

Setiap anggota parti juga katanya perlu melakukan muhasabah diri untuk menilai pengaruh UMNO di kawasan mereka.

“Kenapa bila kita bina masjid dan surau, parti yang dakwa parti Islam tapi kalau nilai dari segi pembinaan institusi masjid dan surau, UMNO lebih banyak jasa daripada parti tersebut. Tetapi kenapa setelah kita buat masjid dan surau, ia tidak lagi merupakan masjid surau pengaruh kita.

“Di mana pengaruh kita di masjid dan suruh yang kita sendiri bina?” kata Najib.

Selain berlaku adil dan saksama, parti itu juga perlu bersikap terbuka dan inklusif untuk menjadikannya lebih kuat dan berpengaruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.