Pelancongan Sabah: Rahman Dahlan Bidas Kenyataan Nazri Aziz

Kuala Lumpur – Sektor pelancongan merupakan antara sumber pendapatan utama di Sabah dan kenyataan yang mengatakan ia sebagai tidak selamat begitu sensitif.

Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi beberapa tweet yang dimuat naik malam tadi antaranya berkata sektor pelancongan memberi maanfaat kepada penduduk luar bandar dan ia perlu terus dipupuk.

“Sabah adalah besar. Apa yang berlaku di Pantai Timur Sabah tidak semestinya menggambarkan keadaan di kawasan pedalaman dan pantai barat,” katanya di Twitter.

Abdul Rahman merujuk kepada kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa negeri Sabah tidak selamat untuk dilawati susulan beberapa kes penculikan Lahad Datu dan Semporna.

Bagi membuktikan Sabah masih selamat, warga media sosial dari Sabah turut memuat naik gambar-gambar destinai-destinasi menarik di Negeri di Bawah Bayu itu.

Mereka turut menyertakan hashtag #SabahOKBah. Ia merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Beyond Pitas untuk penduduk Sabah menunjukkan sokongan mereka kepada sektor tourism tempatan dan juga negeri itu.

Antara yang awal untuk tweet menggunakan hashtag berkenaan adalah Menteri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dan diikuti oleh beberapa penduduk dan pelancong tempatan.

Nazri sebelum ini turut memaklumkan Malaysia Airlines telah membatalkan 10 penerbangan berjadual dari Shanghai-Kota Kinabalu, manakala syarikat penerbangan China, Southern Airlines membatalkan 22 penerbangan berjadual dari Shenzen-Kota Kinabalu.

Selain itu, penerbangan tambang murah Spring Airlines juga membatalkan 44 penerbangan dari Shanghai ke Kota Kinabalu.

Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.