Pegang Konsep Kongsi Jika Ingin Capai Perpaduan Nasional – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata perpaduan nasional hanya boleh dicapai jika semua kaum hidup dan tinggal bersama, bekerja bersama dan lupakan asal usul mereka.

Menurut Dr Mahathir, jika konsep ini digugurkan permusuhan antara kaum akan berterusan.

“Yang lebih buruk lagi akan terdapat satu kaum jauh lebih miskin dan satu kaum jauh lebih kaya,” katanya dalam perutusan Konvensyen Perpaduan Nasional.

Dr Mahathir yang tidak dapat hadir diwakili oleh Mantan Setpolnya, Tan Sri Datuk Aziz Shamsuddin berkata persoalan yang dihadapi oleh rakyat adalah adakah boleh mencapai perpaduan nasional, memandangkan kedudukan yang tidak seimbang dan kaum-kaum terpisah dari kecil sehingga dewasa.

Beliau yang juga merangkap mantan Menteri di Kabinet menjelaskan di zaman British, kaum-kaum diasingkan dan fungsi ekonomi mereka juga berlainan.

“Oleh sebab mereka diasingkan, mereka tidak ada peluang belajar bahasa dan budaya tempatan. Namun, pengasingan ini juga menghalang kejadian permusuhan kaum,” jelasnya.

Katanya, kajian menunjuk bahawa salah satu sebab permusuhan terus berlaku ialah kerana agihan kekayaan dan fungsi ekonomi yang berlainan diantara kaum.

Selepas rusuhan Mei 1969, usaha dibuat untuk menghapuskan identiti kaum dengan pekerjaan demi kestabilan negara.

Beliau berpendapat perkongsian agihan kekayaan dan fungsi ekonomi yang sama antara kaum adalah cara terbaik jika kita ingin menghasilkan perpaduan nasional.

“Oleh itu kita perlu pegang kepada konsep kongsi ini jika kita ingin lihat perpaduan nasional tercapai,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.