Mansuh Subsidi Minyak, Hapuskan Cukai Kenderaan – DAP Perak

Kuala Lumpur – Kerajaan perlu menghapuskan cukai berkaitan kenderaan ekoran pemansuhan subsidi petrol RON95 dan diesel, kata Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin.

Katanya, pemansuhan itu termasuk semua jenis cukai pengangkutan berkaitan antaranya duti eksais, cukai jualan dan duti kereta import.

“Amat tidak adil untuk kerajaan menghapuskan subsidi bahan api, tapi pada masa yang sama mengekalkan cukai pengangkutan yang berkaitan.

“Rakyat berhak membeli kereta dengan harga lebih murah kerana tidak lagi menikmati sebarang subsidi bahan api,” kata Chong dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek mengumumkan, mulai 1 Disember, penetapan harga runcit RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Berikutan itu tiada lagi subsidi kerana pembelian RON95 dan diesel akan bergantung kepada harga pasaran minyak dunia.

Dalam pada itu beliau mendesak kerajaan mendedahkan kaedah pengiraan harga pasaran RON95 dan diesel.

Ini kerana Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini mendakwa bahawa kerajaan masih memberi subsidi 12 peratus bagi setiap liter RON95.

“Saya menggesa kerajaan supaya telus dalam hal ini kerana dakwaan Ahmad Maslan jelas menunjukkan percanggahan dengan laporan yang telah dikeluarkan AmResearch.

“Dengan penurunan harga minyak dunia, kerajaan harus menyesuaikan harga setiap dua minggu secara tepat.

“Minyak mentah global sekarang ini telah menjunam hampir 20 peratus sejak awal September tetapi kerajaan baru menyelaraskan harga RON97, dua hari lalu,” ujarnya.

Laporan AmResearch sebelum ini menganggarkan pengurangan 10 peratus harga minyak mentah dunia, berpotensi mengurangkan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan kepada RM35.6 juta.

Namun kata Chong, dengan harga Brent (nilai piawaian minyak yang bersumber dari Eropah) ditutup pada USD84.47 pada 16 Oktober lalu, rakyat Malaysia kini hakikatnya membayar cukai minyak untuk RON95.  –  Roketkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.