Mangsa Letupan Lombong Dikenal Pasti

Kuching – Pihak polis telah mengenal pasti identiti tiga mangsa yang maut dalam kejadian letupan lombong arang batu di Sarawak Sabtu.

Mereka dikenali sebagai Pang Chung Hyok, 29, warga Korea Utara, Tun Tun Win, 36, warga Myanmar dan warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kardianto, 38.

Letupan kira-kira 9 pagi itu turut mencederakan 29 pekerja lain di lombong yang terletak berdekatan Pantu, Sri Aman kira-kira 130 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Mohamad berkata mangsa maut apabila lombong yang dipenuhi gas itu meletup bermula daripada kejadian litar pintas sebuah kipas.

“Siasatan setakat ini mendapati selain tiga yang meninggal, 29 lagi pekerja tercedera di dalam terowong sepanjang 69 meter itu,” katanya.

Mat Jusoh berkata daripada jumlah yang tercedera, sembilan merupakan warga Indonesia, enam (Myanmar) lima (China), dua (Bangladesh) dan tujuh (Korea Utara).

Katanya 25 orang daripada yang tercedera mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak sementara empat yang lain dirawat di Hospital Sri Aman.

Beliau berkata lombong berkenaan telah beroperasi kira-kira lapan tahun lalu dan kini mempunyai 119 pekerja yang kebanyakannya warga asing. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.