Mahasiswa Diingatkan Setia Dan Tidak Mengkhianati

Kuala Lumpur – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan mahasiswa Malaysia yang menuntut di dalam dan luar negara supaya memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti), turut menasihatkan mahasiswa supaya jangan sekali-kali khianat kepada negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program dialog dan ramah mesra Bakti bersama Mahasiswa Nasional dan Kelab Umno Luar Negara di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kerajaan tidak pernah mempersoalkan keterlibatan mahasiswa dalam kancah dan arus politik negara, apatah lagi setelah undang-undang dan akta membenarkan.

Namun kita mempersoalkan kewajaran dan tahap penaakulan para mahasiswa terhadap sesuatu isu yang dibawa oleh parti pembangkang, katanya.

Dalam ucapan yang sama, Rosmah turut menjelaskan bahawa terdapat 13 akaun laman sosial Facebook yang didaftarkan menggunakan namanya.

“Saya berani bersumpah bahawa saya tidak ada akaun Facebook langsung. Bukan saya punya akaun Facebook semua itu,” katanya.

Majlis dialog dan ramah mesra itu adalah anjuran bersama Bakti, Mahasiswa Nasional dan Kelab Umno luar negara.

Lebih 300 mahasiswa dari dalam dan luar negara dihimpunkan dalam majlis yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.