Kedah Pertaruhkan 3 ‘Awang Hitam’

Alor Setar – Berada di tempat keempat Liga Premier, suku akhir Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini, pasukan bola sepak Kedah melalui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah membuat persiapan rapi dengan misi untuk kembali beraksi ke Liga Super setelah dua musim terpaksa bermain di Liga Perdana.

Reputasi sebagai salah satu pasukan utara tanah air dengan rekod gemilang merangkul kejuaraan ‘double treble‘, pihak pengurusannya KFA melalui pengurus pasukan Datuk Jeffrey Low Han Chow dan jurulatih Tan Cheng Hoe mengesahkan tiga pemain import baru mereka akan tiba pada Isnin.

Keith M Nah, 20 dari Liberia, Lawrence Olum, 30, Kenya dan pemain kelahiran Nigeria Chidi Edeh, 27 dijangka tiba pada pukul 8:10 malam esok melalui penerbangan FireFly dari Subang ke sini dan akan menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Kedah untuk saingan Liga Premier 2015.

Sementara itu, seorang lagi pemain import bagi melengkapi kuota empat pemain import setiap pasukan, bermain di posisi tengah dari Jepun hanya akan tiba pada minggu pertama bulan Disember berikutan liga di sana masih berjalan. Setakat ini, nama dan kelab yang diwakili oleh pemain tersebut masih belum diumumkan.

Dimaklumkan juga melalui Facebook rasmi persatuan tersebut, ketiga-tiga pemain tersebut memiliki reputasi yang baik dengan Keith M Nah merupakan antara penjaring terbanyak di Liga Myanmar manakala Lawrence Olum beraksi di Major League Soccer, Amerika Syarikat dan Chidi Edeh sebelum ini beraksi di Liga Nigeria.

Kedah yang diberi jolokan Helang Merah telah menamatkan saingan di Liga Perdana musim ini di tangga keempat, dibelakang PDRM, Felda United dan Pulau Pinang sekaligus gagal layak ke Liga Super untuk musim 2015.

One thought on “Kedah Pertaruhkan 3 ‘Awang Hitam’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.