Kaedah Apungan Terkawal Diyakini Mampu Kurangkan Penyeludupan

Kuala Lumpur – Langkah kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini diyakini mampu mengurangkan penyeludupan bahan bakar itu di sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Asisten komisioner Azmi Ibrahim berkata, langkah kerajaan itu akan mengurangkan jarak perbezaan harga yang kini sangat ketara di Malaysia dan Thailand sehingga menggalakkan kegiatan penyeludupan bahan bakar itu.

“Harga bahan bakar itu di pasaran negara jiran didapati lebih mahal hampir dua kali ganda berbanding di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bersama Pasukan Polis Marin di Kampung Kemayan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek semalam mengenai penetapan harga runcit untuk kedua-dua jenis bahan bakar tersebut mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini.

Azmi berkata, perbezaan harga yang tinggi itu mendorong mereka yang tidak bertanggungjawab menyeludup bahan bakar bersubsidi itu untuk mendapatkan keuntungan mudah dan lumayan.

“Dengan adanya harga yang tidak jauh berbeza itu akan mengurangkan aktiviti penyeludupan kerana mereka terpaksa berfikir dua kali sebelum melakukannya untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa,” katanya.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.