Hujan Lebat Melanda, Banjir Kilat Di Daerah Kubang Pasu

Alor Setar – Banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu berikutan hujan lebat sejak 3.30 petang tadi.

Kawasan-kawasan yang terlibat ialah KM13.3 Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Kampung Batas Jenalik, KM16 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan simpang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba dan kawasan Perumahan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beberapa kampung di sini turut dinaiki air seperti di Kampung Lembah Keriang, Kampung Sungai Petani, Kampung Belukar dan Kampung Baru.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kamarulzaman Kasa, berkata pihaknya menjangkakan beberapa kawasan lagi dinaiki air kerana ia merupakan laluan aliran air.

“Sementara itu, Sungai Padang Terap Kampung Kubu telah melebihi paras amaran berikutan hujan lebat itu. Penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga,” katanya di sini, malam ini.

Selain itu, banjir kilat membabitkan enam buah rumah di Kampung Lembah Keriang, Kampung Sungai Petani (30 rumah), Kampung Belukar (15) dan Kampung Baru (8).

Pihak polis dan Bomba juga diarahkan bersiap sedia kerana beberapa kawasan di daerah itu terus dinaiki air.

Abu Hassab Tahir, 75, dari Kampung Baru berkata kawasan rumahnya mula dinaiki air selepas tiga jam hujan tanpa henti.

Berikutan itu, beliau bertindak membawa barang-barang pentingnya ke bahagian atas rumah.

Menurutnya pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) juga telah membawa isterinya keluar dari rumah itu ke tempat yang lebih selamat.

“Isteri saya sukar bergerak kerana masalah kencing manis kronik. Memang tak jangka tiba-tiba bah (banjir)…kira-kira 800 pokok getah tanam semula di belakang rumah juga tenggelam. Kenderaan semua dah diletakkan di tempat tinggi,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Baru, Cempawan Shafie, 73, berkata ketika ini belum ada arahan berpindah tetapi beliau akan akur jika diminta berbuat demikian.

Di Kampung Changkat Setoi di sini, beberapa penduduk kampung telah memindahkan barang-barang mereka ke dewan kampung itu sebagai langkah berjaga-jaga walaupun belum menerima arahan berbuat demikian oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Di daerah Padang Terap, difahamkan Sungai Padang Terap di Kuala Nerang telah melebihi paras amaran dan penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.