Banjir Di Kelantan Dan Terengganu Beransur Pulih

Kota Bharu – Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih apabila jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan.

Di Kelantan, paras air di semua sungai utama semakin surut dan menghampiri paras normal manakala mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Pasir Puteh hanya 25 orang setakat 9 pagi Ahad.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, mereka terdiri daripada lima buah keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja.

Cuaca di Kelantan pada sebelah pagi ini diramalkan baik dan hujan diramalkan pada sebelah petang.

Sementara itu di Terengganu, keadaan banjir juga semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir berada di pusat pemindahan pada pagi ini berkurangan kepada 1,303 orang berbanding 1,521 orang pada Sabtu.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negera (MKN) Terengganu, daripada jumlah itu, 1,286 orang di daerah Kuala Terengganu melibatkan 324 keluarga dan 17 orang daripada enam keluarga di Marang.

Katanya di Kuala Terengganu dua buah pusat pemindahan masih beroperasi iaitu di Sekolah Kompleks Gong Badak menempatkan seramai 1,213 orang dan Sekolah Kebangsaan Tok Jiring membabitkan 73 orang.

Menurut portal itu, banjir di daerah Dungun telah surut dan semua pusat pemindahan di daerah berkenaan telah ditutup semalam.

Sementara itu paras air di semua sungai utama di Terengganu berada pada paras normal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.