Alat Perubatan Tambahan Dihantar Untuk Mangsa Letupan Lombong Arang Batu

Kuala Lumpur  – Kementerian Kesihatan akan menghantar peralatan perubatan tambahan termasuk 14 set alat bantuan pernafasan untuk merawat mangsa yang cedera dalam kejadian letupan lombong arang batu di Sri Aman, Sarawak semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kemudahan bagi mangsa yang memerlukan Unit Rawatan Rapi telah disediakan.

Beliau berkata, perkhidmatan pembedahan elektif di hospital mangsa ditempatkan juga akan ditunda, sekiranya mangsa memerlukan pembedahan segera.

“Pasukan perubatan tambahan termasuk tenaga pakar akan turut digerakkan sama ada dari Sabah atau Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga pekerja warga asing maut dan 30 yang lain cedera dalam kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi.

Dr. Noor Hisham berkata, sebaik Bilik Operasi Jabatan Kesihatan negeri Sarawak menerima makluman mengenai kejadian itu pada pukul 12.30 tengah hari, tiga pasukan perubatan dari Pejabat Kesihatan Sri Aman bersama ambulans digegaskan ke lokasi kejadian.

Empat orang mangsa dimasukkan ke Hospital Sri Aman manakala 26 lagi di Hospital Umum Sarawak. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.